Menjejak Semangat Watan Halilintar Jamaica Di Beijing

OlehMohd Raman Daud

TERASA terharu apabila Perdana Menteri Lee Hsien Loong sengaja ‘menganjakkan’ sehari ucapan Inggerisnya di media untuk Rapat Hari Kebangsaan ke-43, kelmarin.

Tidak lain, ia bertujuan agar warga Singapura dapat menyaksikan acara tenis meja wanita.

Bahkan di sela-sela ucapan bahasa Inggeris, beliau sempat mengumumkan keputusan dan kemudian menelefon Encik Tan Eng Liang, wakil rombongan Singapura ke Olimpik Beijing, untuk menyampaikan salam tahniahnya kepada pasukan Singapura.

Begitu sering sukan dijadikan medan dalam membina semangat watan.

Bagaimanakah dengan negara lain, termasuk yang miskin?

Sabtu lalu, saya dan mungkin dunia tentu terpegun menyaksikan Usain Bolt bak ‘halilintar’ memecut pada acara 100 meter di balapan stadium Sarang Burung Beijing.

Malah, menyedari tiada pelumba menyainginya, Bolt dengan bangga menghulur dua tangan dan meletakkan telapak tangan kanannya pada dada kirinya – seolah- olah mengisytiharkan kepada jagat: ‘Acara terpantas dan amat disoroti ini milik aku’.

Masa 9.69 saat memang luar biasa. Andai Bolt tidak melambatkan langkahnya, mungkin masanya 9.5 saat. Malah, tali kasutnya terurai sewaktu memecut!

Dua hari lalu, wartawati Betty Ann Blaine menulis di pojok harian, Jamaica Observer, dalam laman Internet, dengan menyatakannya: ‘Tiada kata sifat yang dapat saya tintakan.’

Bolt telah dapat mengatasi rekod pecut teman senegaranya, Jamaica, Asafa Powell.

Tiga olahragawati sewatannya – Shelly-Ann Fraser, Sherone Simpson dan Kerron Stewart – turut mengharumkan nama watan mereka dengan meraih pingat emas dan berkongsi perak dalam acara pecut untuk wanita di Beijing.

Tidak silap saya, Jamaica merupakan sebuah negara Komanwel yang pernah diungkapkan ceritanya dalam satu ucapan Encik Lee Kuan Yew (ketika menjadi perdana menteri).

Negara pulau tropika di Laut Caribbean itu memang indah dengan pasir putih dan pesisir yang tohor. Tidak hairanlah ia menjadi destinasi pelancong, terutama dari Amerika Syarikat.

Menurut beberapa sumber: luasnya 10,991 kilometer persegi dengan sekitar 2.8 juta penduduk.

Pendapatan setiap warganya AS$7,700 ($10,923) atau 10 peratus warga Singapura. Sekitar 10 peratus rakyat dewasanya menganggur dan 16 peratus hidup daif (miskin tegar). Kota-kotanya, termasuk ibu kota Kingston, dikatakan antara yang paling tinggi kadar jenayahnya di dunia. Kadar penagihan dadah, pelacuran dan pesakit Aids juga tinggi.

Dalam sejarahnya, Jamaica disebut sebagai pulau yang ditemui pelayar Sepanyol, Christopher Columbus, pada 1494. Kebanyakan penduduknya beragama Kristian dan berkulit hitam – tanda warisan daripada zaman perhambaan daripada benua Afrika.

Sejak merdeka daripada British pada akhir 1950-an, keadaan Jamaica dikatakan terumbang-ambing.

Banyak kumpulan samseng menguasai ekonomi negara ini, termasuk urusan kokain.

Namun kawasan pelancongannya dikatakan selamat dan merupakan sumber utama pendapatan negara.

Sekali gus, gambaran sekilas ini sudah menunjukkan betapa beza Jamaica dengan Singapura.

Kalangan warga kita menulis di mimbar akhbar betapa kejayaan meraih pingat perak terbaru ini memang bermakna – berakhirlah kemarau pingat Olimpik selang 47 tahun.

Namun ada yang terkilan kerana para ahli sukan itu bukan kelahiran Singapura, tetapi baru saja menjadi warga.

Namun, bukan Singapura saja yang mengimport bakat asing. Juara bola sepak Piala Dunia, Perancis, yang memulakannya apabila majoriti pemainnya bukan asal watan.

Malah di Olimpik Beijing, terpapar jurulatih asal China yang kini melatih pasukan negara lain!

Apakah kalangan penulis mimbar akhbar di sini begitu bersemangat kebangsaan sehingga mengenyahkan bakat asing yang sedia menjadi warga kita?

Mungkin juga kita berasa sinis kerana ganjaran yang besar telah menambat mereka ke watan pulau yang sudah bertaraf negara maju.

Mengapa Singapura tidak boleh jadi macam Jamaica?

Menurut Cik Blaine, negaranya haus akan kejayaan kerana hendak menampal segala kekurangannya.

‘Jamaica berada di anak tangga ke-17 dari bawah (indeks rasuah), terus dibeliti kemiskinan tegar, kebobrokan keluarga dan kadar tinggi pengangguran belia. Perbezaan kelas berterusan dengan pelbagai puak politik.

‘Buta huruf mencirikan banyak rakyatnya. Ketiadaan harapan belia Jamaica memang menonjol dan kemakmuran begitu jauh sekali…

‘Apa yang dibuktikan oleh atlit Jamaica bahawa di sebalik pelbagai masalah negara, semangat watan tidak boleh ditindas atau dipatahkan. Memang menarik bahawa kebanyakan atlit kita berasal daripada keluarga susah. Ternyata di sebalik kedaifan yang berterusan, anak muda watan ini khususnya perlu mendengar dan faham akan pesan ini,’ katanya.

Jamaica memang terkenal kerana muzik rentak Reggae yang dirintis oleh Bob Marley. Irama Jamaica dipopularkan Harry Belanfonte (warga Amerika tetapi lama dibesarkan di Jamaica) dengan jenama muzik Calypso, dianggap pemuzik hebat jagat.

Berdasarkan citra atau imej inilah Cik Blaine menulis:

‘Dengan mata dunia tertumpu pada Jamaica, dengan rasa muhibah yang ada untuk watan ini, pintu terbuka luas untuk kita terus melombong emas selepas Olimpik Beijing.

‘Bukan saja Jamaica perlu mengukuhkan kedudukannya sebagai industri muzik dunia, bahkan juga industri sukan padang dan balapan.’

Apakah harapan Cik Blaine bakal tercapai?

Belafonte dalam lagunya, Island In The Sun, sudah lama mendendangkan harapan itu:

This is my island in the sun where my people have toiled since time begun I may sail on many a sea her shores will always be home to me

Oh island in the sun built to me by my father’s hand all my days I will sing in praise of your forest waters your shining sand

Singapura jauh lebih bertuah daripada Jamaica kerana kita dirahmati kemakmuran dan kemantapan luar biasa. Diumpan ganjaran, ahli sukan handalan asing sanggup ke sini.

Seharusnya kita dapat memupuk atlit watan seperti Bolt (halilintar).

Apatah lagi bagi anak Melayu yang sering disifatkan berbakat dalam sukan dan seni tetapi kurang diasah dan diberi peluang sepenuhnya.

Sudahkah kita mencuba sedaya upaya?

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: