Tanam Semangat Olimpik Dalam Diri

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

TAHUN 2008 menyaksikan China diberi penghormatan menjadi penganjur sukan empat tahun sekali ini. Suka duka tuan rumah menyediakan prasarana canggih seperti kemudahan Stadium Sarang Burung yang menjadi tapak perasmian Sukan Olimpik turut diselang-seli dengan peristiwa gempa bumi di bahagian tengah China seakan-akan menguji semangat Olimpik penduduk republik tersebut.

Semangat Olimpik yang membara turut menjadi perangsang kepada penduduk China untuk sama-sama menjayakan temasya yang hanya mampu diadakan di negara yang dianggap kaya, maju dan mempunyai tradisi sukan yang membanggakan di mata dunia.

Semangat Olimpik ini sekurang-kurangnya dapat memberi inspirasi kepada kita untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan ekonomi yang mengalami kemerosotan kerana faktor kenaikan harga minyak.

Walaupun Olimpik jauh di China namun impak daripada segi aspirasinya perlu dijadikan tonik bagi kita bersaing secara sihat untuk meningkatkan ekonomi diri dan seterusnya keluarga.

Peluang yang ada perlu dicari untuk mendapatkan sumber kewangan lebih bagi menampung kekurangan pendapatan waima tabungan keluarga. Kita pasti merasa gusar apabila melihat harga bahan makanan meningkat namun jika kita ada stamina untuk bercucuk tanam dan kalau minat memancing atau menangkap ikan di kolam berbayar, ia pasti akan menjadi perkara dua dalam satu iaitu sambil bersukan mencari makan.

Jika nilai sukan atau Olimpik diterapkan dalam jiwa kita maka kehidupan yang dianggap seperti saingan dalam arena pertandingan sukan dapat membantu kita melalui kegetiran hidup akibat kenaikan kos seharian.

Mungkin kita tidak akan memenangi pingat emas, perak ataupun gangsa tetapi secara positifnya semangat bertanding untuk hidup senang-lenang akan menghadiahkan kita kehidupan yang selesa dan ketenangan fikiran daripada beban hutang sama ada hutang bil tenaga, hiburan mahupun hutang pelajaran yang menjadi warisan sepanjang hayat seperti pinjaman PTPTN, Mara atau JPA.

Kehidupan jika ibarat pentas Sukan Olimpik perlu didominasi dengan semangat ingin mendapatkan kemenangan melalui kemampuan diri. Kemenangan bukan bermakna sesuatu yang mutlak, kemenangan dalam hidup adalah untuk mengatasi sesuatu atau pesaing. Ia perlu dilakukan dengan tenaga, skil kendiri dan motivasi dalam diri sebagaimana yang diterapkan dalam diri ahli sukan negara.

Bagi kita yang meminjam semangat Olimpik perlu juga berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran. Kita juga harus sedar bahawa bukan semua atlet daripada golongan yang berada sebelum diiktiraf oleh jenama-jenama sukan dunia. Mereka ada yang berasal daripada anak petani yang mempunyai kesungguhan yang tinggi dalam merubah nasib keluarga.

Sesungguhnya semangat Olimpik amat perlu diambil sebagai azimat bagi kita mengharungi era hidup berdikit-dikit ini. Kehidupan perlu berubah daripada baik kepada lebih baik dan bukan sebaliknya.

Bagi kita yang dilanda hidup yang serba-serbi perlu dibajet hari ini berhak juga merasa memiliki kemewahan hidup dan motivasi dalaman untuk menggerakkan kita ke arah itu ialah dengan menjana semangat Olimpik dalam diri. Manusia tidak pernah lahir sebagai pengalah dan tidak semua ditakdirkan sebagai pemenang.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: