Mimpi Ngeri Kuartet AS


Darvis Patton gagal menyerahkan baton kepada Tyson Gay (kiri) menyebabkan kuartet 4x100m terkeluar pada pusingan awal Sukan Olimpik Beijing, semalam. – AFP

MIMPI ngeri Amerika Syarikat dalam saingan olahraga Sukan Olimpik berterusan semalam apabila kuartet 4×100 meter lelaki dan wanita mereka tersingkir pada pusingan pertama.

Apa yang memalukan, kegagalan tersebut bukan kerana prestasi, tetapi kerana kesilapan buruk atlet mereka menjatuhkan baton, mengulangi apa yang berlaku pada Temasya Athens 2004.

Kuartet lelaki Amerika terlebih dulu melakukan kesilapan apabila pertukaran baton dari tangan Darvis Patton kepada Tyson Gay terjatuh.

Hanya 30 minit kemudian, kuartet wanita mengulangi kesilapan sama apabila baton yang dihulur Torri Edwards gagal disambut baik oleh pelari terakhir, Lauryn Williams meskipun mereka sedang mendahului perlumbaan.

Dengan kegagalan Amerika Syarikat, laluan semakin terbuka buat Jamaica untuk memenangi perlumbaan akhir hari ini, apatah lagi kedua-dua skuad mereka berjaya memenangi saringan lelaki dan wanita.

Bagi Gay, dia mengharungi Olimpik paling buruk selepas sebelum ini turut gagal mencabar gelaran 100m selepas tersingkir pada saingan separuh akhir.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku.

“Dia (Patton) berkata, baton sudah berada di tangan saya. Saya fikir saya dapat merasakannya tetapi saya tidak dapat memegangnya.

“Saya bertanggungjawab atas kesilapan ini, ia salah saya dan saya sedia dipersalahkan,” kata Gay.

Kesilapan dalam pertukaran baton turut menyelubungi kuartet 4x100m Amerika pada Olimpik Athens 2004, apabila kesilapan hantaran di antara Maurice Greene dan Mark Lewis-Francis membenarkan Britain memintas mereka untuk meraih emas.

Cerita yang sama juga berulang dalam perlumbaan wanita, biarpun Williams semalam yang masih bersemangat berlari mendapatkan baton dan cuba meneruskan saingan.

Namun, mustahil untuk Amerika Syarikat merubah kedudukan pada ketika mereka sudah ketinggalan terlalu jauh di belakang.

Seperti rakan lelaki mereka, skuad wanita Amerika turut berdepan situasi sama di Athens, empat tahun lalu apabila Williams gagal menyambut baik hantaran Marion Jones dalam perlumbaan akhir, dan negara itu menduduki tangga tercorot.

“Kalau orang ramai mahu menyalahkan saya di atas kesilapan ini, saya sedia terima.

“Maksud saya, saya boleh terima apa saja cemuhan yang bakal dilemparkan,” kata Williams, juara 100m dunia pada 2005.

Bagaimanapun kekecewaan Amerika Syarikat sedikit terubat dengan kejayaan atlet mereka mendominasi kedudukan emas, perak dan gangsa dalam acara 400m lelaki.

LaShawn Merrit mengejutkan penyandang juara dan juara dunia 2005, Jeremy Wariner untuk meraih pingat emas dengan catatan 43.75s. Wariner pula mencatat 44.74s, manakala gangsa milik David Neville dengan 44.80s.

– AFP

Utusan Malaysia

Leave a comment