Si Jelita Olimpik

Susunan Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

NAMA Leryn Franco mungkin tidak begitu dikenali di pentas Sukan Olimpik kali ini namun bagi rakyat Paraguay, atlet wanita berkenaan mempunyai daya penarik tersendiri yang membuatkan ramai ingin mengetahui mengenainya di laman web.

Mewakili Paraguay untuk acara merejam lembing, Leryn, 26, adalah model terkenal di negara berkenaan dan pernah memenangi tempat kedua pertandingan Ratu Cantik di negaranya, dua tahun lalu.

Jika sebelum ini, imej atlet wanita di bahagian balapan lebih kepada yang berotot dan berkulit gelap namun kemunculan model terkenal dari Amerika Latin itu sedikit sebanyak mengubah persepsi ramai.

Dengan potongan badan yang dianggap sempurna untuk seorang wanita serta rambut hitam yang panjang mengurai membuatkan kemunculan Leryn di Stadium Olimpik Beijing baru-baru ini mendapat sorakan gemuruh daripada penonton.

Wanita setinggi 174 sentimeter kelahiran bandar raya Asuncion ini sememangnya seorang gadis kota yang menggemari tumpuan dan dunia glamor.

Dia mempunyai seraut wajah jelita yang menarik perhatian Sport Illustrated untuk menyiarkan artikel mengenainya yang dikatakan sebagai antara model dan atlet yang mendapat bayaran terbanyak, baru-baru ini.

Kata Leryn, bidang peragaan sebagai batu loncatan untuknya mendapat wang yang banyak dan dia menyukai masa kerjanya yang fleksibel.

“Bidang peragaan adalah satu cara untuk saya meneruskan minat dalam sukan ini dan tidak seperti atlit, kerjaya sebagai seorang model memberi pulangan lumayan.

“Lagipun, kejohanan sukan tidak ada setiap bulan dan saya perlu mencari alternatif terbaik untuk menyara hidup,” katanya.

Dalam pada itu, biarpun ramai yang berpendapat keupayaan Leryn tidak seberapa berbanding kecantikan yang dimiliki, dia tidak pernah menganggap komen berkenaan sebagai sesuatu yang serius.

Menurut Leryn, hanya dia dan jurulatih yang tahu keupayaan sebenarnya manakala orang luar tidak berhak menilai semata-mata dia adalah seorang model di luar balapan.

“Jika saya tidak mempunyai keupayaan untuk bertanding dengan atlit lain, Paraguay tidak akan menghabiskan duit untuk menghantar saya ke temasya ini,” katanya.

Sementara itu, Sukan Olimpik Beijing kali ini menyaksikan penyertaan Leryn buat kali kedua dan dia pernah bertanding di Sukan Olimpik Athens, empat tahun lalu.

Selain itu, Leryn juga pernah mewakili negaranya ke Kejohanan Sukan Olimpik musim panas pada 2004 dan 2008 dengan rekod lontaran terbaiknya ialah 55.38 meter

Biarpun hanya mendapat kedudukan ke-42 di Athens dan menduduki tempat kedua terakhir pada acara merejam lembing Olimpik baru-baru ini, Leryn boleh berbangga sebagai atlit ternama dunia yang pernah beraksi di kejohanan sukan terunggul dunia itu.

“Saya amat gembira kerana sekali lagi terpilih ke sukan Olimpik dan sedar harapan rakyat Paraguay yang menggunung tinggi.

“Untuk itu, saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan melakukan yang terbaik untuk semua terutama keluarga yang tidak pernah putus menyokong karier saya selama ini,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: