Bolehkah Malaysia?

Oleh FERZALFIE FAUZI

PINGAT perak Sukan Olimpik 2008 hadiah dari Lee Chong Wei untuk semua rakyat Malaysia.

ESOK Sukan Olimpik Beijing 2008 akan melabuhkan tirainya secara rasmi, semua atlet hebat dari seluruh dunia akan pulang ke negara masing-masing dengan membawa kenangan manis, pahit, suka dan duka.

Sehingga artikel ini ditulis kontinjen negara hanya berjaya meraih sebutir pingat perak menerusi pemain badminton perseorangan negara Lee Chong Wei yang tewas kepada pemain tuan rumah Lin Dan dalam perlawanan akhir.

Walaupun negara kita mempunyai kemudahan sukan yang terbaik di rantau ini, tetapi pingat emas yang diidamkan sejak sekian lama masih belum muncul, malah negara kecil dan miskin seperti Panama, Kenya, Ethiopia dan beberapa negara jiran megah dengan pingat emas yang dimenangi mereka.

Seluruh rakyat Malaysia masih tertanya-tanya di manakah tahap atlet negara sekarang? Adakah prestasi mereka masih lagi di takuk lama atau semakin meningkat?

Malah ada yang sudah membuat congakan kemampuan kita di Sukan Olimpik London 2012, apa yang membimbangkan ramalan untuk empat tahun akan datang prestasi atlet negara akan berada pada tahap yang sama.

Bagaimanapun orang nombor satu dalam bidang sukan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob sudah memberi bayangan bahawa program menyediakan atlet untuk Olimpik 2012 akan disegerakan sebaik Sukan Olimpik Beijing tamat.

Beliau berkata, antara langkah yang dibuat ialah mengenal pasti muka-muka baru untuk menggantikan tempat muka lama sekarang.

Katanya, kerajaan juga akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menganjurkan mini Sukan Olimpik sebagai pentas untuk memilih bakat-bakat yang berpotensi mewakili negara.

“Kita juga akan menambah pendedahan atlet dalam kejohanan. Sebagai contoh, atlet Eropah diberikan pendedahan sekurang-kurangnya dalam 10 kejohanan antarabangsa sebelum bertanding ke Olimpik,” katanya

Saranan beliau amat bertepatan sekali mungkin pada masa depan akan lahir lebih banyak lagi atlet berbakat seperti Azizulhasni Awang (lumba basikal), Pandelela Rinong (terjun) Cheng Chu Sian (memanah) dan Lee Hup Wei (lompat tinggi).

Siapa tahu pada 2012 nanti mereka mampu untuk mengukir kejayaan dan mencipta sejarah menamatkan penantian negara memenangi pingat emas pertama Olimpik.

Badminton perlu Chong Wei ‘baru’

Pujian harus diberikan kepada atlet kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang Lee Chong Wei selepas menamatkan kemarau pingat negara di Sukan Olimpik selepas gagal memenangi sebarang pingat di Sydney 2000 dan Athens 2004.

Mungkin gugup beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah dan strategi yang kurang menjadi membuatkan Chong Wei terlepas untuk menghadiahkan negara pingat emas pertama Olimpik.

Menurut Pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hamdan Ahmad berkata, kekalahan yang dialami Chong Wei hanya disebabkan oleh masalah psikologi, di mana pemain itu kurang mempunyai motivasi diri.

”Jika semuanya berada dalam keadaan baik termasuk sudut fizikal dan mental tidak mustahil Chong Wei boleh memberikan pingat emas buat negara, tetapi dia perlu pelbagaikan corak permaianan agar mudah memerangkap lawan.

”Dalam masa yang sama kita juga perlu mencari lebih banyak ‘Chong Wei’ seperti negara China dan Indonesia yang mempunyai banyak pemain muda yang berbakat,” katanya.

Prestasi Malaysia di Beijing memberangsangkan

Menurut Hamdan, prestasi atlet negara di Beijing boleh diklasifikasikan sebagai memberangsangkan atau sederhana.

”Di temasya besar seperti Olimpik kita perlu menggandakan usaha dan mempertingkatkan kemahiran setanding dengan atlet dari negara lain.

”Tidak mustahil jika ini mampu dilakukan dengan penuh disiplin kita mampu untuk mengutip pingat dalam beberapa jenis sukan seperti lumba basikal dan memanah,” katanya

Jelas Hamdan semuanya terletak kepada atlet untuk mempertingkatkan kemahiran mereka terutama sekali menjelang Sukan Olimpik 2012 London.

”Disiplin dan menjaga pemakanan (diet) serta latihan keras adalah kunci kepada kejayaan atlet, itu yang dilakukan oleh atlet dunia yang lain walaupun dari mana-mana negara tidak kira miskin, tengah berperang, mundur, maju dan sebagainya.

”Perkara ini dapat dilihat dengan jelas apabila pemain skuasy negara Datuk Nicol Ann David sentiasa mementingkan disiplin dan latihan yang keras sama seperti pemain bola sepak era 70-an dan 80-an,” katanya.

Rekod kebangsaan di Olimpik belum memadai

Jika dilihat dari sudut realistik atlet renang negara sukar untuk memberi saingan kepada perenang handalan dunia yang lain, apatah lagi untuk memenangi lebih dari satu pingat emas seperti yang dilakukan oleh perenang Amerika Syarikat, Michael Phelps dan ratu renang Australia Stephanie Rice.

Bagaimanapun Daniel Bego dan Siow Yi Ting tidak mahu pulang ke tanah air dengan tangan kosong apabila masing-masing berjaya memperbaharui rekod kebangsaan yang dicatatkan mereka sendiri sebelum ini.

Daniel Bego berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 200 meter gaya bebas 1:50.92 saat memadamkan rekod lamanya 1:51.05s, sementara Yi Ting pula cemerlang dalam acara 200 meter kuak lentang dengan rekod kebangsaan 2:29.21s.

Badang negara Amirul Hamizan Ibrahim kembali ke arena pertandingan antarabangsa dan pentas Olimpik menjadi saksi kebangkitannya selepas berjaya memecah rekod kebangsaan kategori 56 kilogram untuk berada di tempat kelapan.

Melihat pencapaian yang dilakukan oleh atlet-atlet tersebut menimbulkan satu pertanyaan, adakah atlet negara sudah mempertingkatkan kemampuan mereka di arena antarabangsa?

Penganalisis sukan Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berpendapat tidak banyak perubahan yang dapat dilihat sejak dahulu lagi.

”Kita hanya mampu berbangga dengan pencapaian hebat di Sukan Komanwel sahaja tetapi tidak di Sukan Olimpik.

”Pungutan pingat yang dikutip masih sama sahaja, kita pernah memenangi pingat perak sebelum ini di Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan sekarang kita menang pingat perak juga dalam acara yang sama, badminton,” katanya.

Ujarnya, atlet dari acara lain masih belum bersedia dan lebih malang sukan yang dahulunya mengangkat martabat negara seperti hoki merosot teruk.

Ditanya adakah semua ini disebabkan oleh faktor fizikal dan mental atlet Malaysia itu sendiri, katanya semua adalah disebabkan pegawai yang mengusahakan badan-badan sukan itu sendiri.

”Mereka terdiri dari individu yang tidak mengetahui pengetahuan dan pengalaman tentang sukan serta mempunyai agenda lain.

”Ini akan menimbulkan pelbagai masalah di antara orang tertinggi di dalam badan sukan sehingga mengganggu perkembangan prestasi atlet dan sukar untuk mencapai matlamat,” katanya.

Jelasnya, badminton dan hoki mempunyai peluang untuk bersinar pada masa akan datang jika bahagian pentadbiran sukan itu mampu untuk menggilap atlet baru.

Lumba basikal dan memanah beri saingan

Sebelum tiba di Beijing atlet lumba basikal dan memanah dikatakan mampu untuk memberi saingan sengit kepada lawan mereka yang lebih handal, ternyata telahan tersebut benar belaka.

Dalam acara pemanah recurve individu pemanah negara, Cheng Chu Sian berjaya mara hingga ke suku akhir selepas menewaskan jaguh dari Korea Selatan Lee Chang-Hwan di pusingan ketiga tetapi nasib tidak menyebelahinya apabila tewas di pusingan suku akhir kepada pemanah Rusia, Bair Badenov.

Sementara itu dalam recurve berpasukan Chu Sian dan dua lagi rakannya Mohamad Marbawi Sulaiman serta Wan Khalmizan Abd. Aziz tewas di peringkat suku akhir kepada pemenang pingat perak Itali, ternyata skuad pemanah berada pada kelasnya yang tersendiri.

Pembawa bendera kontinjen negara di Sukan Olimpik Beijing, Azizulhasni Awang berjaya mencuri tumpuan selepas hanya ketinggalan separuh tayar kepada pelumba sensasi Britain Chris Hoy dalam acara pecut suku akhir.

Selepa memperlihatkan perlumbaan yang bertenaga itu Azizulhasni dihambur pujian oleh pelumba dan pegawai negara lain sekali gus mengubat kekecewaannya gagal memenangi pingat dalam acara keirin bersama seorang lagi pelumba negara Josiah Ng.

Tiada kejutan dari olahraga, menembak, terjun dan pelayaran

Seperti yang dijangka atlet olahraga yang dibarisi oleh Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Lee Hup Wei (lompat tinggi) tidak mampu untuk mara ke pusingan akhir apatah lagi untuk menghampiri pencapaian jaguh Rusia Yelena Isinbayeva serta Andrey Silnov.

Selepas gagal melayakkan diri ke pusingan akhir kedua-dua atlet yang memenangi pingat emas di Sukan SEA Korat tahun lepas ini juga gagal memperbaharui rekod kebangsaan milik mereka sendiri.

Malah satu-satunya sandaran pingat dalam olahraga Yuan Yu Fang pula tidak mampu untuk menamatkan acaranya 20 kilometer jalan kaki akibat masalah sakit perut.

Begitu juga dengan penembak tunggal negara Hasli Izwan Amir Hasan yang sekadar menamatkan saingannya di tempat ke-15 keseluruhan dalam acara acara 25 meter rapid fire pistol sekali gus gagal menempatkan diri ke pusingan akhir.

Barisan penerjun negara Elizabeth Jimie, Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong masih jauh ketinggalan dengan atlet antarabangsa yang lain, memandangkan umur mereka yang masih muda mungkin London 2012 akan menjadi mengubat kekecewaan mereka.

Sukan Olimpik kali keempat tidak memberi sebarang kenangan manis buat atlet pelayaran Dr. Kevin Lim yang pernah beraksi di temasya ini pada tahun 1996, 2000 dan 2004, selepas menamatkan cabaran perlumbaan laser di tangga ke-38.

Persiapan awal London 2012

Walau apa pun keputusannya para atlet harus mengambil iktibar dan contoh kejayaan atlet lain, tidak jauh iaitu dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Mereka sudah bersedia dari segi mental dan fizikal malah tidak gentar dengan cabaran atlet dari benua Eropah dan Afrika serta Amerika Syarikat.

Sudah sampai masanya kita melahir dan mengasah bakat atlet muda yang bukan sahaja setanding tetapi lebih hebat dari Lee Chong Wei, Azizulhasni dan Cheng Chu Sian.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: