IAAF Diheret Dalam Pergeseran KOAM-HPTC

KUALA LUMPUR – Ia bukan soal siapa betul atau siapa salah, namun apabila kemelut di antara Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dan Pusat Latihan Prestasi Tinggi (HPTC) Asia diheret hingga ke Beijing, ia cukup memalukan Malaysia.

Ketua Pengarah HPTC Asia, Mohd. Musa Noor Mohd. mendakwa, Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim memburukkan HPTC Asia di Bukit Jalil kepada para pegawai Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) yang kini berkumpul di Sukan Olimpik Beijing.

Apakah cerita yang dijaja Karim tidak pula diketahui kerana pegawai kanan KOAM itu tidak dapat dihubungi kerana masih berada di Beijing dan hanya akan kembali ke tanah air pada 27 Ogos ini.

Sekiranya benar apa yang didakwa Musa, maka perkara itu tidak harus dibiar berterusan, ini kerana ia melibatkan dua pegawai sukan dari Malaysia, sekali gus memburukkan imej Malaysia di mata olahraga dunia.

Ia mengingatkan kita kepada pertelingkahan yang pernah berlaku di antara dua tokoh badminton negara, Datuk Punch Gunalan dan P. Ganga Rao di dalam Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Bayangkan, dua pegawai tinggi olahraga tempatan bercakaran dan memburukkan satu sama lain, sedangkan pada masa yang sama tiga atlet yang beraksi di Sukan Olimpik – Roslinda Samsu, Lee Hup Wei dan Yuan Yufang gagal membawa pulang kejayaan.

Adalah lebih baik sekiranya pengalaman dan kepakaran yang dimiliki mereka dikongsi untuk membangunkan olahraga tempatan dan melahirkan lebih ramai jaguh dunia.

“Ini bukanlah kali pertama Karim cuba memburukkan HPTC Asia, tahun lalu juga dia melakukan pekara yang sama ketika di Osaka, memberitahu pegawai IAAF mengenai masalah HPTC.

“Saya masih tidak faham mengapa beliau tidak berpuas hati sangat dengan kami, kalau ada yang tidak kena, kita berdebat, malah saya juga telah ajak Karim berdebat dan kalau terbukti saya ini salah, saya sedia meletak jawatan,” kata Musa.

Menurut Musa, beliau telah memaklumkan perkara ini kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob mengharapkan campur tangan Menteri serta Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Kemelut KOAM-HPTC atau Musa-Karim sebenarnya bukan perkara baru, kedua-dua mereka saling menyalahkan antara satu sama lain dengan yang terbaru klinik kejurulatihan anjuran HPTC enggan diiktiraf KOAM.

HPTC kesal kerana KOAM enggan menggunakan fasiliti dan kepakaran jurulatih mereka, sedangkan KOAM mendakwa HPTC hanya memberi manfaat kepada atlet luar, terutama dari negara Afrika.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: