Jawatan Ketua Jurulatih Dimansuhkan?

KUALA LUMPUR – Ketika ini, bukan saja kedudukan Yap Kim Hock sebagai ketua jurulatih badminton kebangsaan menjadi tanda tanya, malah jawatan yang disandangnya juga mungkin tidak akan diwujudkan lagi, lapor NORZIE MOHD. KHASBI

Memansuhkan jawatan ketua jurulatih antara cadangan yang bakal dipertimbangkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan mereka, awal bulan depan.

Rashid Sidek, yang sebelum ini disebut-sebut sebagai bakal pengganti Kim Hock sebaliknya mungkin dinaikkan kepada ketua jurulatih perseorangan, manakala Rexy Mainaky dijangka kekal sebagai ketua jurulatih beregu.

Bukan mahu mengecilkan peranan Kim Hock sejak menggalas jawatan ketua jurulatih pada 2005, namun ada di kalangan pegawai BAM berpendapat bahawa kewujudan jawatan ketua jurulatih ketika ini bukan satu keperluan.

Malah pada Olimpik Beijing, nama Kim Hock tercicir sebagai penerima akreditasi dan terpaksa membeli tiket untuk menonton perlawanan. Pas sebaliknya diberi kepada Rexy, Misbun Sidek, Wong Tat Meng dan pengurus pasukan, Datuk Lim Teong Kiat.

Setiausaha BAM, P. Ganga Rao mengakui, BAM menerima pelbagai cadangan daripada jurulatih dan pegawainya mengenai pembentukan struktur baru kejurulatihan, namun keputusan hanya akan dibuat secara kolektif pada mesyuarat bulan depan.

“Apa yang boleh saya sahkan, mesyuarat itu nanti terbuka kepada banyak kemungkinan kerana kami akan mengambil kira cadangan dan pandangan semua jurulatih serta pegawai.

“Satu penstrukturan semula dalam sistem kejurulatihan BAM akan dilakukan, dan kewujudan jawatan jurulatih bergantung kepada keperluan. Mungkin ada jawatan yang ditambah mungkin ada yang tidak diperlukan,” kata Ganga.

Seandainya kontrak Kim Hock, yang tamat pada 31 Disember ini tidak sambung, pengalaman luas yang dimiliki naib juara beregu Olimpik 1996 itu mungkin digunakan untuk menerajui Projek 2016 – menyiapkan pemain remaja menghadapi Olimpik 2016.

Sementara itu, Kim Hock ketika dihubungi berkata, dia menyerahkan masa depannya kepada BAM.

Walaupun mengakui ada terdengar pelbagai cerita, namun jurulatih itu berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkannya, apatah lagi ketika ini masih di dalam mood bercuti.

“Saya serah kepada pengurusan BAM untuk menentukan mengenai kedudukan saya. Banyak cerita yang saya dengar, tetapi cerita itu tidak penting, yang penting adalah keputusan pada hari mesyuarat nanti,” akui Kim Hock.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: