Argentina Pertahan Emas Bola Sepak


Pemain tengah Argentina, Angel Di Maria (kanan) diasak pemain Nigeria, Solomon Okoronkwo (kiri) dan Dele Adeleye pada perlawanan akhir bola sepak Sukan Olimpik di Beijing, semalam.

Jaringan Angel Di Maria memberikan Argentina kejuaraan Olimpik kedua berturut acara bola sepak lelaki selepas menang 1-0 ke atas Nigeria, semalam.Di Maria yang mendapat hantaran Lionel Messi pada minit ke-58, melakukan larian solo dan menyungkit bola lambung melepasi penjaga gol Nigeria Ambruse Vanzekin yang meluru cuba menghalangnya.

Jaringan itu mengesahkan kemenangan Argentina juara 2004, manakala juara Olimpik 1996 – Nigeria terpaksa berpuas hati dengan hanya pingat perak.

Dalam pada itu Brazil memenangi pingat gangsa apabila mengalahkan Belgium 3-0 di Shanghai, kelmarin.

Satu-satunya perlawanan bola sepak yang dilangsungkan di Stadium Olimpik Beijing semalam disaksikan oleh 89,102 penonton termasuk legenda bola sepak Argentina Diego Maradona.

Perlawanan yang berlangsung dalam cuaca terik menyebabkan pengadil memberhentikan perlawanan sebanyak dua kali bagi membolehkan para pemain minum.

Stadium yang mampu memuatkan 90,000 penonton hampir penuh sebelum sepak mula namun penonton mula berkurangan pada pertengahan babak pertama berikutan suhu yang meningkat sehingga 42 darjah celsius.

Selepas 30 minit perlawanan pengadil dari Hungary, Viktor Kassai memberhentikan permainan selama dua minit bagi membolehkan para pemain minum dan menyejukkan badan selama dua minit.

Akibat cuaca terik, perlawanan di babak pertama berlangsung hambar apabila terlalu banyak kesilapan, hantaran tidak tepat dan para pemain cuba memperlahankan gerakan bagi menyimpan tenaga.

Nigeria hampir mendahului perlawanan tidak lama selepas pengadil membenarkan pemain berehat untuk minum tetapi hantaran silang Odemwingie di depan pintu gol Argentina lambat disambar oleh Promise Isaac.

Percubaan Argentina melalui Messi khususnya kerap dinafikan di babak pertama cuma Di Maria hampir memecah kebuntuan menerusi rembatan deras dari jarak 30 meter tetapi bola berjaya ditumbuk keluarkan oleh Vanzekin.

Messi turut mencipta peluang terbaik pada minit ke-50 apabila melepasi pemain pertahanan berhampiran kawasan penalti dan melepaskan rembatan kaki kiri namun Vanzekin lebih bersedia menumbuk bola keluar.

Hantaran Messi lapan minit kemudiannya berjaya menghasilkan gol kemenangan Argentina.

Ia bermula di kawasan tengah padang apabila Riquelme diterjah lawan lalu bola terpantul tepat kepada Messi yang segera melorongkan kepada Di Maria tanpa dicabar oleh pertahanan Nigeria.

Pemain tengah Benfica itu hanya berdepan penjaga gol Vanzekin dan mudah menyungkit bola ke mulut gol yang kosong.

– AP

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: