Bolt Tiada Tandingan

Susunan BAZLY AZMI
bazly@hmetro.com.my

KETIKA Usain Bolt mencipta catatan 9.76s pada Kejohanan Remaja Dunia di Kingston, awal Mei lalu, jurulatihnya, Glen Mills berkata: “Ianya hanya satu permulaan.

Dua puluh lapan hari kemudian, bintang pecut Jamaica berusia 22 tahun itu memperbaiki catatan kepada 9.72s bagi mencipta rekod baru dunia di New York. Sejak itu, kelibat Bolt menjadi tumpuan.

Di New York, dia jauh meninggalkan pelari Amerika Syarikat, Tyson Gay yang melakukan 9.85s. Kemudian, Bolt sekali lagi menyinar di Kingston, bulan lalu dengan meninggalkan Asafa Powell, 0.12s di belakang pada Kejohanan Ujian Olimpik Jamaica hasil catatan 9.85s.

Kini, Bolt memegang rekod 100 dan 200m dunia serta Sukan Olimpik masing-masing dengan catatan 9.69s dan 19.30s. Semalam kuartet 4x100m Jamaica yang turut dianggotai Bolt memperbaharui rekod baru dunia dengan catatan 37.10s hasil prestasi gemilang di Sukan Olimpik Beijing.

Dia juga muncul pelari pertama dalam sejarah berjaya memecah rekod dunia pada satu temasya Olimpik dan lelaki pertama sejak Carl Lewis menjuarai dua acara pecut 100 serta 200m selepas Olimpik 1984.

Bolt dibesarkan di Trelawny, Jamaica – anak kepada pasangan Jennifer dan Wellesley Bolt – dan mempunyai seorang kakak, Sherine. Pada zaman kanak-kanak, minat Bolt cenderung kepada tarian dan dia memiliki karakter tenang serta bersahaja.

Sukan pertama yang menarik minatnya adalah kriket dan dia pernah berkata, andai tidak menjadi pelari pecut, dia mungkin menjadi pembaling bola yang pantas.

Begitupun, dia tetap meminati atlit olahraga Jamaica seperti Herb McKenley dan bekas pemegang rekod kebangsaan 200m negara itu, Don Quarrie. Bekas juara 200m dunia dan Olimpik, Michael Johnson dari Amerika Syarikat turut disanjung Bolt.

Apapun, Bolt segera memberi kesan mendalam selepas mencuba nasib dalam olahraga menerusi penampilan pertama pada Kejohanan Remaja Dunia 2002 ketika usianya 15 tahun. Dia memenangi emas acara 200m selain menambah dua perak selaku sebahagian kuartet Jamaica.

Kejayaan itu menobatkannya selaku atlit termuda dalam sejarah berjaya merangkul emas Kejohanan Remaja Dunia. Bolt kemudiannya menjulang deretan kejayaan dalam acara 200m pada 2003 dengan memecah rekod Kejohanan Remaja Dunia serta Kejohanan Sekolah Tinggi Jamaica.

Dia muncul atlit remaja pertama melakukan catatan bawah 20 saat bagi 200m dengan memecahkan rekod Kejohanan Remaja Dunia milik Roy Martin dengan kelebihan 0.02 saat menerusi catatan 19.93s pada 2004.

Kecederaan memaksanya melupakan deretan kejohanan olahraga musim 2003 dan 2005.

Namun, Grand Prix di Lausanne 2006 menyaksikan Bolt kembali menemui rentak menerusi catatan peribadi terbaik, 19.88s.

Kepantasannya di trek memaksa pengeluar produk sukan dunia, Puma mengambil pendekatan mengikat penajaan dengannya sebaik dia menyinar pada Kejohanan Remaja Dunia 2002.

Malah, demi mempromosikan impian Bolt merangkul kejayaan Olimpik Beijing, Puma mengeluarkan siri video mengenai sorotan catatan rekod dunia yang dilakukannya selain persiapan ke Beijing.

Ketika final 100m Olimpik Beijing, Bolt memakai kasut Puma dengan jaluran ‘Emas 100m Beijing’ dan kasut itu membawanya menjuarai 100 dan 200m – kedua-duanya dengan rekod baru dunia.

“Ketika ini, di Jamaica, pesta sedang bermula dengan muzik Reggae dimainkan!” kata pegawai perubatan kontinjen Jamaica, Dr Herb Elliot.

Kejayaan Bolt turut dikongsi Menteri Penerangan Jamaica, Olivia Grange yang berkata: “Kami miliki kopi terbaik dunia! Kami ada Bob Marley, yang memberi sinar baru kepada dunia! Dan kini kami ada Usain Bolt.

“Ketika ini, namanya amat bermakna di segenap penjuru Jamaica. Semua lelaki, wanita dan kanak-kanak mengagumi Bolt.”

USAIN BOLT

KEWARGANEGARAAN: Jamaica

TARIKH LAHIR: 21 Ogos 1986

USIA: 22 tahun

TEMPAT LAHIR: Trelawny, Jamaica

TINGGI: 1.96 meter

BERAT: 86 kilogram

STATUS: Bujang

PENCAPAIAN:

Sukan Olimpik Beijing

Emas – 100m (rekod dunia, 9.69s)

Emas – 200m (rekod dunia, 19.30s)

Emas – 4x100m (rekod dunia, 37.10s)

Kejohanan Dunia 2007

Perak – 200m

Perak – 4x100m

Kejohanan Remaja Dunia 2002

Emas – 200m

Perak – 4x100m

Perak – 4x400m

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: