Cabaran Malaysia Berakhir

BEIJING – Cabaran Malaysia di Sukan Olimpik Beijing berakhir tanpa tambahan pingat selepas wakil terakhir negara, Che Chew Chan kecundang dalam pertarungan repechage taekwondo wanita atas 67 kilogram, semalam.

Chew Chan yang menang tipis dengan kiraan 5-4 ke atas lawannya, Evgeniya Karimova dari Uzbekistan pada pusingan pertama pada sebelah pagi, bagaimanapun gagal mengekang asakan keras Nina Solheim dari Norway dalam suku akhir.

Atlet negara itu tewas mudah dengan kiraan 1-5 meskipun terlambat untuk bangkit memberikan tentangan sengit pada pusingan ketiga.

Nasib Chew Chan agak baik apabila seterunya di suku akhir, Solheim mara ke pertarungan akhir sekali gus membuka ruang kepada naib juara Kejohanan Asia itu kembali bersaing dalam repechage untuk sekurang-kurangnya gangsa.

Chew Chan bagaimanapun gagal mengintai peluang apabila teragak-agak untuk menyerang lawan sehinggakan tewas mudah, sekali gus menutup peluangnya untuk mencari kedudukan terbaik di tempat ketiga dalam kategori tersebut.

Dia kelihatan tidak terdaya menyaingi lawannya dalam repechage, Noha Abd. Rabo dari Mesir apabila tunduk dengan kiraan 1-5, meskipun beraksi agresif untuk mengikat lawannya itu tanpa sebarang mata dalam aksi pusingan pertama.

Kekalahan Chew Chan itu menyamai nasib Elaine Teo yang terdahulu tertiarap dalam saingan bawah 57kg, sekali gus menutup tirai aksi di temasya Beijing dengan Malaysia kekal satu perak menerusi jaguh badminton, Lee Chong Wei.

Chew Chan yang ditemui selepas itu berkata, dia sangat kecewa kerana gagal membawa pulang pingat untuk ngara meskipun telah berusaha bersungguh-sungguh.

”Saya terlalu tertekan sehingga tidak boleh memberikan fokus dalam pertarungan itu walaupun telah memberikan persembahan yang baik,” katanya yang pertama kali menyertai Sukan Olimpik.

Kekalahan dua wakil negara itu juga menambah episod duka skuad taekwondo di Sukan Olimpik selepas menerima nasib yang sama di temasya Athens 2004.

Pencapaian terbaik negara di Sukan Olimpik setakat ini ialah di temasya Atlanta dengan membawa pulang dua pingat (perak dan gangsa) menerusi pasangan beregu badminton, Yap Kim Hock-Cheah Soon Kit dan pemain perseorangan, Rashid Sidek.

– Utusan

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: