Chong Wei Ketepikan ‘Cinta’ Demi Badminton

WALAUPUN gagal menghadirkan pingat emas Olimpik sulung Malaysia di Beijing, namun penangan merangkul pingat perak tidak kurang hebatnya buat jaguh badminton negara, Lee Chong Wei (gambar).

Selepas menerima habuan RM300,000 dan pencen seumur hidup RM3,000, Chong Wei didatangi pula pengiktirafan yang membawa gelaran Datuk kepadanya oleh kerajaan Pulau Pinang pada 30 Ogos nanti.

Beberapa hari sebelum itu, dia dihujani dengan pelbagai persoalan mengenai masa depan, sama ada mengenai karier mahu pun yang berbentuk peribadi. Antara soalan yang popular, bila dia akan berkahwin dan adakah Wong Mew Choo menjadi pilihan hati.

Turut menjadi tanda tanya di kalangan rakyat Malaysia, apakah Chong Wei masih akan beraksi di Olimpik London, empat tahun dari sekarang, dan ketika itu adakah dia masih Chong Wei yang sama atau lebih hebat.

Bersama wartawan Mingguan Malaysia, Norzie Mohd. Khasbi, Chong Wei berkongsi cerita selepas bergelar naib juara Olimpik.

SOALAN: Tahniah atas kejayaan memenangi pingat perak Sukan Olimpik. Cuba ceritakan apa perasaan Chong Wei ketika ini?

CHONG WEI: Terima kasih. Memang saya lega tetapi saya tidak menafikan rasa terkilan gagal memenangi pingat emas.

Ramai yang masih tertanya, apa sebenarnya berlaku di final yang mendorong kekalahan mudah kepada Lin Dan?

Memang tekanan itu ada tetapi ia bukan alasan utama. Saya tidak dapat menyaingi kepantasan Lin Dan. Permainannya luar biasa hari itu. Saya percaya, permainan seperti itu hanya boleh dilakukan sekali seumur hidup.

Selepas membawa pulang pingat Olimpik, harapan rakyat Malaysia kepada Chong Wei juga semakin tinggi. Adakah ia menambah tekanan buat anda?

Saya sudah biasa memikul pengharapan besar sejak bergelar pemain nombor satu suatu ketika dulu. Ia bukan perkara baru. Saya cuba memenuhi pengharapan setakat yang terdaya.

Empat tahun dari sekarang, pada Temasya London 2012, adakah Chong Wei rasa peluang untuk memenangi emas Olimpik masih sebaik sekarang. Ketika itu usia anda pun sudah menjangkau 30 tahun.

Secara peribadi saya mahu bermain di Olimpik 2012. Tetapi empat tahun dari sekarang adalah tempoh yang panjang dan kita tidak tahu apa akan berlaku tetapi saya akan memulakan persiapan dari sekarang.

Secara peribadi, bagaimana anda menilai kemampuan skuad Projek 2010-2012 yang sudah sedia mengambil alih pasukan elit, siapakah pemain paling menonjol?

Sekarang waktu yang sesuai untuk mengetengahkan pemain-pemain ini. Empat tahun menjelang Olimpik London jika diberi pendedahan sudah tentu mereka mampu menjadi pemain yang matang. Antara pemain yang menonjol adalah Tan Chun Seang, Darren Liew dan Chong Wei Fen.

Apakah gelaran lain yang mampu memberi kepuasan kepada Chong Wei selepas ini?

Nak tunggu Olimpik, empat tahun lagi. Jadi Kejohanan Dunia tahun depan (di India) adalah sasaran terbaru saya, lagi pun kita tidak pernah memiliki juara dunia.

Anda pernah merampas takhta nombor satu dunia daripada Lin Dan tetapi kemudian ia dirampas semula. Apakah Chong Wei rasa mampu merampas semula gelaran itu?

Saya kena konsisten untuk mengambil alih tempat Lin Dan. Mungkin boleh bermula dengan Kejohanan Dunia. Harap begitu.

Beralih kepada soalan yang agak peribadi, ramai tertanya-tanya apa yang hendak dibuat dengan wang RM300,000?

Saya mahu kumpul aset, beli sebuah rumah dan bawa kedua-dua orang tua saya tinggal di Kuala Lumpur. Impian saya adalah mahu orang tua saya tinggal dan hidup selesa bersama saya di sini.

Kata orang, wang itu boleh digunakan untuk kahwin. Bila agaknya Chong Wei bersedia untuk menamatkan zaman bujang?

Saya masih muda, belum terfikir untuk kahwin. Lagi pun, karier saya sedang naik dan saya sibuk dengan latihan serta kejohanan. Lebih baik saya buru kejuaraan yang belum pernah saya menang daripada buru ‘cinta’.

Ketika bertemu kedua-dua orang tua anda baru-baru ini, mereka secara jujur suka kalau jodoh Chong Wei adalah Wong Mew Choo.

Ya, mereka menyenangi Mew Choo, tetapi kami tuan punya badan sendiri belum terfikir tentang masa depan kami kerana apa yang ada di fikiran ketika ini hanya badminton.. badminton dan badminton (sambil tergelak).

Apakah perasaan anda bergelar Datuk pada usia 26 tahun?

Ia gelaran yang berat untuk dipikul, tetapi saya menghargainya kerana ia adalah pengiktirafan di atas pencapaian saya. Apa yang lebih penting, saya mahu tengok ibu bapa di Malaysia ini buka mata dan menggalakkan anak mereka bermain badminton dan berkata, ‘tengok tu, main badminton dapat duit, pencen, dapat gelaran Datuk’. Itu yang buat saya gembira.

Adakah gelaran Datuk boleh membawa perasaan kurang selesa dalam hubungan anda dengan rakan-rakan lain dan jurulatih, Misbun Sidek?

Ini tidak timbul langsung. Misbun adalah jurulatih saya dan saya amat menghormati beliau sebagai jurulatih. Rakan-rakan juga sudah mengenali saya. Chong Wei dulu dan sekarang tidak ada beza. Anda pun jangan panggil saya Datuk, Chong Wei cukup (sambil tergelak).

Utusan Malaysia

One Response to “Chong Wei Ketepikan ‘Cinta’ Demi Badminton”

  1. eli Says:

    rasa cam kelakar gak chong wei dpt pangkat datuk…tapi he deserve it…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: