Dokumen Gimnas China ‘Ok’ – Rogge

DOKUMEN yang dikemukakan oleh China bagi membuktikan gimnas negara itu berusia lebih 16 tahun disifatkan sebagai ‘okey’ buat masa ini, kata presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogge semalam.

Sebelum ini wujud tuduhan bahawa China melanggar peraturan apabila menurunkan gimnas yang belum mencapai umur 16 tahun seperti yang disyaratkan.

Peraturan umur atlet yang dibenarkan beraksi di Sukan Olimpik telah diperkenalkan pada 1997 bagi melindungi hak kemanusiaan atlet muda.

Tuduhan tertumpu kepada gimnas wanita China iaitu He Kexin, Jiang Yuyuan, Li Shanshan, Deng Linlin dan Yang Yilin sehingga menyebabkan IOC mengarahkan Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) menjalankan siasatan.

Bertindak atas arahan tersebut FIG telah mengadakan mesyuarat agung luar biasa kelmarin dan China segera menyerahkan salinan dokumen termasuk pasport dan kad pengenalan atlet tersebut bagi menyokong dakwaan mereka.

Rogge berkata, dokumen tersebut kemudian dianalisis dan pada tahap ini ia kelihatan sahih.

“Kami mendengar pelbagai tuduhan di media mengenai keraguan tentang umur atlet terbabit dan kami memandang serius perkara ini dengan meminta FIG supaya menjalankan siasatan mereka sendiri.

“Umur atlet yang dibenarkan beraksi di Sukan Olimpik adalah tanggungjawab FIG bukan IOC namun kita tetap menganggap ia isu yang sangat serius.

“FIG meminta semua dokumen, seperti dokumen keluarga dan sekolah dan lain-lain perkara berkaitan dan semua itu telah kami terima.

“Pada pandangan awal kami semuanya kelihatan okey. Bagaimanapun FIG akan mengkaji semua dokumen tersebut kerana ia berada di China dan FIG akan melaporkannya secepat yang mungkin,” katanya pada hari terakhir Sukan Olimpik Beijing, semalam.

Secara spesifik IOC merujuk kes itu kepada He selepas pakar komputer Amerika Syarikat mendakwa wujud dokumen di China yang membuktikan bahawa He lahir pada 1994 atau baru berusia 14 tahun.

China menguasai acara gimnastik pada Olimpik Beijing dengan memenangi sembilan daripada 14 pingat emas yang ditawarkan iaitu yang kedua tertinggi selepas USSR memenangi 10 emas pada Olimpik Seoul pada 1988.

He meraih dua emas iaitu dalam acara berpasukan wanita dan palang seimbang di mana dia mengetepikan bintang Amerika Syarikat Nastia Liukin.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: