Juara Dunia Triatlon Terus Bukti Keunggulan

BEIJING: Selaku juara dunia tiga kali, Emma Snowsill dari Australia membuktikan dirinya tidak mudah lentur dengan tekanan dan suhu panas di Beijing.

Sebaliknya beliau menjadikan kelebihan tampil sebagai peserta pilihan untuk memenangi acara triatlon Sukan Olimpik dengan selesa dengan menamatkan perlumbaan lebih daripada satu minit ke atas pencabarnya di sini, pagi semalam.

Snowsill, yang terlepas peluang menyertai Olimpik Athens 2004, mengatasi pesaing terdekatnya dari Portugal, Vanessa Fernandes, dalam acara terakhir dengan mencatatkan satu jam 58 minit 27 saat, meninggalkan lawannya 1:06 minit.

Rakan senegaranya, Emma Moffatt, juara Osim Triatlon Singapura bulan lalu, memungut pingat gangsa dengan masa 1:59:55.84 jam.

Snowsill, 27 tahun, yang menguasai perlumbaan dari awal, masih mempunyai masa untuk merayakan kejayaannya itu dengan para peminat apabila mengibarkan bendera Australia dalam larian menuju ke garisan penamat.

‘Saya tidak berasa gerun (tampil di Beijing). Ia benar-benar sukar dan panas. Saya kira ini merupakan laluan yang baik bagi triatlon, ia benar-benar laluan yang cukup mencabar,’ kata Snowsill.

Kejayaan tersebut juga seakan-akan menebus kekecewaan Snowsill, yang tidak dipilih ke Athens 2004.

Bertolak daripada situ, atlit yang turut dikenali sebagai Snowy itu berjaya memungut pingat emas dalam Sukan Komanwel dan dua mahkota juara dunia.

Australia memenangi dua pingat perak menerusi Michelle Jones dan Loretta Harrop, tetapi tidak pernah memenangi pingat emas sejak acara triatlon disertakan dalam Sukan Olimpik Sydney 2000.

‘Saya berasa bangga dan ini merupakan suatu penghormatan bagi seorang warga Australia apabila dikalongkan dengan pingat emas di Sukan Olimpik,’ kata Snowsill, yang memiliki ketinggian 1.61 meter.

‘Saya kira kami kelihatan hampir kepada kejayaan di Sydney dan Athens. Kejayaan ini menebus dua kegagalan tersebut.

‘Saya tidak kecewa kerana tidak dipilih ke Athens. Anda harus memandang ke hadapan.

‘Anda datang dari sebuah negara yang cukup hebat dengan triatlon. Maka itu, ia merupakan suatu perasaan yang hebat apabila anda akhirnya membawa pulang pingat emas.’

Juara bertahan asal Australia, Kate Allen, hanya menduduki tempat ke-14 dan juara dunia Britain, Helen Tucker, pula di tangga ke-21. — AFP.

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: