Misbun Wajar Terima ‘Datuk’ – Jalani

misbun sidek (kiri) bukan sahaja melatih Lee Chong Wei tetapi juga sering memberi semangat untuk anak didiknya itu mencapai kejayaan.

KUALA LUMPUR – Dengan sumbangannya membantu Malaysia merangkul dua pingat Olimpik, malah pernah menjadi pemain digeruni, gelaran Datuk yang diterima jurulatih badminton negara, Misbun Sidek, merupakan satu penghormatan yang wajar, kata pemenang pingat gangsa Olimpik 1992, Jalani Sidek.

Jalani, yang juga adik kepada Misbun turut melihat penghormatan yang diterima abangnya itu merupakan pengiktirafan buat badminton, kerana ia menyusul beberapa hari selepas Lee Chong Wei menerima gelaran yang serupa daripada kerajaan Pulau Pinang dan bulan lalu, bekas jaguh beregu, Ng Boon Bee menerima gelaran Datuk daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Misbun, 48, yang dilahirkan di Banting, Selangor bakal dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) daripada kerajaan Negeri Melaka yang akan membawa kepada gelaran Datuk pada Khamis ini.

“Pada zamannya sebagai pemain, Misbun seorang yang gigih dan telah menempa nama sebagai lawan digeruni. Bila menjadi jurulatih, beliau berjaya membawa pemainnya ke peringkat tertinggi dengan memenangi dua pingat Olimpik. Jadi saya fikir beliau memang berhak mendapat pengiktirafan ini.

“Malah, sumbangan Misbun kepada badminton tanah air tidak sekadar melatih Lee Chong Wei dan pemain kebangsaan lain, beliau juga aktif membantu pembangunan pemain di peringkat akar umbi. Hari ini (semalam) beliau berada di Pulau Pinang menganjurkan klinik badminton untuk kanak-kanak walaupun sedang sibuk,” kata Jalani.

Sebagai jurulatih, selain telah membawa Chong Wei memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing, Misbun juga pernah membimbang adiknya, Rashid Sidek meraih gangsa di Temasya Atlanta 1996.

Misbun juga adalah orang yang bertanggungjawab membawa Muhammad Hafiz Hashim merangkul gelaran Seluruh England 2003, pernah membawa Roslin Hashim bergelar pemain nombor satu dunia pada 2001, malah pernah menjadikan Chong Wei pemain nombor satu.

Sebagai pemain pula, beliau adalah juara kebangsaan 1981, 1982, 1983, 1984, 1986 dan 1987, pernah memenangi emas Sukan SEA Manila 1981, selain pernah menjuarai kejohanan terbuka seperti Terbuka Singapura, Taiwan, Jerman, Sweden dan Kanada.

Dilahirkan di Kancung Darat, Banting pada 17 Februari, 1960, Misbun juga merupakan naib juara Piala Dunia 1982, naib juara Seluruh England 1986 dan membawa cabaran Malaysia ketika muncul naib juara Piala Thomas 1988.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: