Pro&Kontra: Konvensyen Cari Ramuan Elak Kehambaran Sukan

Oleh Raja Ahmad Zainuddin

SAYA sering menegaskan bahawa perkongsian dan percambahan idea bagi mencari jalan memajukan sukan negara adalah langkah terbaik, dan seperti juga di kalangan Ahli Parlimen yang mengadakan percambahan idea dengan pemimpin tertinggi, pemimpin badan sukan dan orang perseorangan yang berminat dalam bidang sukan juga perlu duduk semeja.

Saya mengalu-alukan usaha Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakub yang mengumumkan bahawa Konvensyen Sukan akan diwujudkan semula selepas lebih sedekad berehat.

Pengumuman itu pasti melegakan banyak pihak dan walau dalam apa bentuk sekalipun, pasti menjadi medan penting untuk berkongsi pendapat, apalagi dalam kedudukan negara yang agak ketinggalan selepas melihat pencapaian hambar Malaysia pada Sukan Olimpik Beijing yang berakhir semalam.

Dengan kata lain, konvensyen ini akan menjadi landasan penting bagi mencari jalan serta menentukan hala tuju sukan negara.

Jika tidak silap, konvensyen kali terakhir diadakan pada April 1996 di Pulau Langkawi dengan penyertaan lebih 260 tokoh dan pendukung utama sukan negara dan ia berjaya menilai semula prestasi Malaysia sambil mengorak langkah untuk Sukan Olimpik Sydney 2000, selain Sukan Komanwel 1998.

Saya lihat melalui konvensyen yang akan diadakan nanti, kita mampu menilai punca kemerosotan di Olimpik Beijing, walaupun sebutir perak dicapai melalui badminton. Soal penting ialah kita perlu ada wadah untuk menghadapi Olimpik London 2012.

Konvensyen yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur Oktober depan mampu mengumpulkan semula mereka yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam kemajuan sukan negara.

Saya bersetuju dengan Ismail Sabri bahawa setiap pihak mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat masing-masing. Yang penting, hasil konvensyen jangan diperap di kementerian dan pejabat persatuan sukan kerana ia sebenarnya adalah ramuan penting bagi mengubati barah sukan selain menentukan hala tuju sukan di Malaysia selepas ini.

Apapun kita tidak boleh menuding jari sewenang-wenangnya kepada pihak yang gagal di Beijing kerana kita sendiri pun hanya mensasarkan harapan kepada badminton, berbasikal dan memanah saja.

Namun, rakyat Malaysia tetap berbangga dengan ganjaran RM300,000 dan pingat perak di Olimpik Beijing kerana ia menamatkan kemarau pingat negara dalam temasya berkenaan sejak 1996.

Bagi kontinjen Sukan Paralimpik ke-13 Beijing 2008 yang membabitkan 11 atlit paralimpik negara yang mula bertanding 8 September ini, saya ucapkan selamat berjuang dan dengan ganjaran RM300,000 ditawarkan kepada pemenang emas, perak (RM200,000) dan gangsa (RM100,000), saya yakin ia akan menjadi pembakar semangat dan harapan untuk kita berjaya dalam lima acara yang disertai iaitu renang, angkat berat, memanah, olahraga dan perahu layar.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: