43 Rekod Dunia Lebur Di Olimpik Beijing

– Utusan

BEIJING – China seperti dijangka dari awal mendahului senarai pungutan pingat, menutup tirai temasya Beijing, kelmarin dengan 51 emas, 21 perak dan 28 gangsa sekali gus dinobat juara keseluruhan dengan jumlah 100 pingat.

Angka paling cantik itu juga merupakan catatan rekod paling besar dalam sejarah jumlah kutipan pingat selepas kali terakhir bekas negara Kesatuan Soviet (USSR) meraih sebanyak 55 emas pada temasya Seoul 1988 di Korea Selatan.

Amerika Syarikat (AS) pula buat pertama kali berada di tempat kedua pungutan emas terbanyak sejak temasya Barcelona 1992, sekali gus mengatasi rekod jumlah pencapaian sendiri.

Temasya Beijing juga menyaksikan AS mengumpul 110 pingat, lebih 10 butir mengatasi pencapaian China dan melebihi dua pingat mengatasi jumlah pungutannya di Olimpik 1992.

Sepanjang 17 hari temasya berprestij ini berlangsung, sebanyak 43 rekod dunia lebur manakala 120 rekod Olimpik baru dicatatkan.

Pencapaian Olimpik Beijing yang dianggap antara terbaik yang pernah diadakan turut menarik perhatian Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC), Jacques Rogge yang memuji China pada penutup tirai temasya, kelmarin.

”Terima kasih rakyat China. Juga terima kasih kepada tenaga sukarelawan dan jawatankuasa (BOGOC) yang menjayakan temasya ini,” katanya.

Sementara itu, para pemimpin China turut tidak putus-putus mengucapkan tahniah kepada atlet mereka yang kini menjadi kebanggaan negara dan rakyatnya.

Kejayaan China di temasya Olimpik membuka lembaran baru bagi pembangunan sukan di negara itu dan pelengkap kepada kejayaan melaksanakan tanggungjawab sebagai tuan rumah.

Apa sekali pun, kejayaan China mengungguli pungutan pingat tidak dilihat berseorangan kerana setiap negara yang mengambil bahagian turut mempunyai alasan untuk meraikannya terutama bagi yang menang pingat pertama kali di temasya Olimpik.

Britain, misalnya yang ceria kerana bakal menjadi tuan rumah temasya London 2012, turut mempunyai sebab lain untuk bergembira apabila jumlah pungutan pingatnya di Beijing, 47 butir adalah yang terbaik sepanjang sejarah penyertaannya ke Olimpik.

Temasya Beijing juga menyaksikan sebanyak 87 negara berjaya membawa pulang pingat berbanding hanya 80 buah di Sydney 2000.

Benua Afrika sahaja membawa pulang sebanyak 40 pingat – satu sejarah termasuklah kejayaan Togo, Mauritius dan Sudan meraih pingat pertamanya dalam sejarah penyertaannya di Olimpik.

Panama pula memperoleh emas pertamanya dalam sejarah Olimpik dalam acara lompat jauh manakala Mongolia bagi acara judo.

Malaysia turut tidak ketinggalan membawa pulang satu pingat perak dalam acara badminton lelaki menerusi, Lee Chong Wei selepas kali terakhir berbuat demikian dalam temasya Atlanta 1996 daripada pasangan beregu, Yap Kim Hock-Cheah Soon Kit.

Malaysia memperoleh pingat pertama Olimpik menerusi gandingan beregu, Razif dan Jalani Sidek yang meraih gangsa di Barcelona 1992 sebelum Rashid menghadiahkan pingat yang sama di Atlanta 1996 daripada acara perseorangan.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: