Naikkan Ganjaran Jurulatih

Oleh HISYAMUDDIN AYUB

KUALA LUMPUR – Penambahan nilai peratus ganjaran kemenangan yang disediakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini kepada jurulatih negara perlu ditingkatkan lagi bagi memajukan industri sukan negara.

Sebelum ini, MSN memperuntukkan sebanyak 20 peratus imbuhan tambahan kepada jurulatih daripada jumlah wang kemenangan yang diperoleh atlet atau pasukan bimbingan mereka menerusi skim hadiah kemenangan.

Perkara itu mendapat sokongan penuh daripada bekas ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad.

Katanya, dia berharap ada pihak yang akan mengkaji semula jumlah peratus ganjaran tersebut kepada jurulatih negara yang telah banyak membantu meningkatkan prestasi atlet sehingga ke peringkat tertinggi.

“Perkara ini adalah wajar dikaji semula oleh pihak yang terlibat. Jika peruntukan atlet yang berjaya memenangi pingat emas di Sukan Olimpik telah berubah, maka jumlah imbuhan kepada jurulatih juga seharusnya berubah.

“Perubahan itu perlu diambil berat dan ditimbang semula oleh pihak berkuasa bagi meningkatkan lagi semangat semua jurulatih negara dalam membimbing atlet dan skuad negara,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, semalam.

Menurut beliau, jumlah peruntukan yang diberikan oleh MSN iaitu sebanyak 20 peratus telah lama dilaksanakan dan ia perlu dikaji semula berdasarkan situasi semasa.

Jelasnya, selain dapat membantu meningkatkan lagi semangat jurulatih, ia juga boleh membantu jurulatih menampung kos sara hidup semakin meningkat pada masa ini.

Namun begitu katanya, kenaikkan imbuhan itu perlu diberi keutamaan kepada jurulatih yang berjaya membawa atlet atau pasukannya melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

“Kejayaan memperoleh pingat di Sukan Olimpik adalah sesuatu yang besar dan sumbangan yang diberikan oleh jurulatih negara seharusnya diambil kira.

“Peranan mereka sangat besar dan peningkatan pemberian ganjaran juga seharusnya diberi perhatian,” katanya.

Ditanya adakah jurulatih yang berjaya membawa kejayaan cemerlang di kejohanan lain atau di peringkat lain selain Sukan Olimpik perlu diberi peningkatan ganjaran, beliau berkata, ia terpulang kepada kebijaksanaan dan pertimbangan daripada pihak berwajib.

Namun begitu Mazlan menegaskan, perubahan ganjaran kepada jurulatih yang berjaya membawa kejayaan cemerlang di Sukan Olimpik adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian.

Sementara itu, Pengerusi Kompleks Sukan Negara, Datuk Mohd. Said Yusof berkata, dia sememangnya menyokong penuh usaha untuk meningkatkan lagi jumlah peruntukan imbuhan kepada jurulatih negara.

Katanya, sebagai tulang belakang kepada kejayaan atlet negara, jurulatih juga seharusnya mendapat pengiktirafan dan ganjaran seperti yang diperoleh atlet atau pasukan bimbingannya.

“Jika MSN boleh meningkatkan jumlah peruntukan melebihi 20 peratus, ia adalah sesuatu tindakan yang sangat wajar.

“Pada pandangan saya, jika boleh ia dinaikkan melebihi 30 peratus. Atlet dan jurulatih adalah satu entiti yang saling berkerjasama dan memerlukan antara satu sama lain.

“Jadi, tidak salah untuk memberi peruntukkan yang lebih baik kepada golongan tersebut seperti yang turut dinikmati oleh atlet negara,” katanya.

Ditanya sama ada pemberian itu juga layak diberikan kepada jurulatih luar yang membimbing atlet negara, beliau berkata, perkara itu sebenarnya tidak salah dilakukan kerana mereka juga telah sanggup berbakti dalam membangunkan sukan di negara ini.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: