–>Post-Mortem Nilai Prestasi


KEMENTERIAN Belia dan Sukan akan menjalankan post-mortem bagi menilai prestasi atlit negara pada Sukan Olimpik Beijing yang berakhir kelmarin, terutama bagi mengenalpasti punca ramai yang tidak menyerlah pada temasya sukan terbesar dunia itu.

“Kita akan mengadakan post-mortem segera untuk melihat sejauh mana prestasi mereka, sama ada bertambah baik atau merosot,” kata menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Walaupun gembira dengan kejayaan pemain badminton, Lee Chong Wei merangkul pingat perak perseorangan lelaki setelah ditewaskan pemain China, Lin Dan, Ismail Sabri menyatakan kekecewaannya terhadap atlit yang gagal memberikan persembahan terbaik mereka.

“Saya tidak puas hati dengan atlit yang prestasi mereka telah menurun, kurang memuaskan berbanding dengan Olimpik 2004,” katanya.

Beliau berkata walaupun negara tidak mengharapkan mereka membawa pulang pingat, sekurang-kurangnya mereka perlu memperbaiki rekod peribadi masing-masing.

“Bagi sesetengah acara, kita berharap Olimpik menjadi platform pendedahan untuk mereka dan memperbaiki rekod diri. Ada pula acara lain yang kita ada ranking dan harapan untuk memungut pingat seperti badminton, tetapi tidak dapat,” katanya.

Beberapa atlit negara, misalnya daripada acara berbasikal, akuatik dan badminton beregu menampilkan persembahan yang hambar pada Sukan Olimpik di Beijing baru-baru ini.

Malaysia menghantar 33 atlit ke Sukan Olimpik di Beijing.

Harian Metro

Leave a comment