Pusat Pertembungan Kebudayaan Timur Dan Barat

Artikel dan gambar Oleh ABD. HALIM HADI pelancongan@utusan.com.my

PENGEBOMAN di Shanghai dan Yunnan yang dikaitkan sebagai ancaman puak pemisah Uighur terhadap temasya Sukan Olimpik di Beijing menimbulkan kebimbangan di hati kami ketika konvoi menghampiri sempadan China, baru-baru ini.

Pintu masuk yang dilalui oleh pasukan Petronas Adventure Team (PAT) ketika itu melalui Kashgar, sebuah daerah di wilayah Xinjiang yang dikatakan paling ‘panas’ ekoran pemberontakan kumpulan pemisah yang mahukan pembebasan daripada pemerintahan China.

Ekoran isu keselamatan yang semakin meruncing, konvoi tidak mempunyai pilihan selain akur satu persatu kepada pemeriksaan ketat dan arahan pihak berkuasa di pos sempadan yang memakan masa sehingga lapan jam.

Seminggu kemudian, kenangan di sempadan itu tiba-tiba muncul di ingatan setiap peserta selepas mendengar berita pengeboman yang mengorbankan 16 anggota polis di pos sempadan yang sama.

Laporan berita Xinhua itu tetap menambah kebimbangan peserta walaupun bersyukur kerana terselamat dan terlepas daripada kejadian itu.

Itulah pergolakan yang tersembunyi di sebalik rupa sebuah bandar yang aman dan tenteram, malah masih menerima jumlah kemasukan pelancong yang tinggi walaupun terpencil di bahagian paling barat republik itu.

Ekoran serangan itu nama Kashgar atau disebut Kashi dalam bahasa Mandarin tiba-tiba dikenali oleh penduduk dunia selepas sekian lama dilupakan.

Padahal bandar itu suatu masa dahulu pernah menjadi pusat perdagangan terpenting di antara dunia Eropah, Timur Tengah dan China.

Lokasinya di laluan persimpangan antara empayar Rom, Persia, Mongolia dan China (kini berhampiran dengan Kyrgystan, Tajikistan, Afghanistan, Rusia dan Pakistan) menjadikan bandar ini sebagai pusat perdagangan terpenting di Laluan Sutera.

Persinggahan

Kesan daripada fungsi itu masih jelas kelihatan sehingga hari ini, seperti yang terdapat di bandar-bandar sepanjang Laluan Sutera lain antaranya Balkh, Bukhara, Samarkand, Turpan, and Khotan.

Tetapi selepas serangan Mongol pada kurun ke-12, bandar yang pernah menerima jolokan Mutiara Laluan Sutera itu mula ditinggalkan dan semakin jarang dikunjungi oleh golongan pedagang.

Walaupun rasa penat menunggu di sempadan masih belum hilang, kami meninggalkan bilik hotel seawal mungkin pada pagi itu untuk ke tempat menarik di kota tinggalan Dinasti Han itu.

Berbekalkan peta yang disediakan oleh pihak hotel kami melalui Dataran The People’s dan ketika itu perhatian penulis tertumpu pada patung gergasi pemimpin legenda Republik Rakyat China, Mao Zedong yang berdiri tidak jauh dengan Bank of China, destinasi pertama kami untuk menukar mata wang.

Di sebalik pergolakan yang semakin memuncak, dua struktur tersebut bagi penulis adalah simbol yang cukup kuat membuktikan penguasaan politik dan ekonomi kerajaan China ke atas bandar itu sejak 1950-an.

Selepas 10 minit berjalan, kami tiba di destinasi seterusnya iaitu Masjid Id-Kah, yang merupakan antara masjid terbesar dan tertua di negara itu.

Laungan azan Jumaat yang berkumandang di seluruh kota pada hari itu menarik ribuan umat Islam melangkah masuk ke gerbang bewarna kuning yang menjadi mercu tanda kota.

Menariknya masjid yang dibina sejak 1442 ini tidak pernah lekang daripada pengunjung yang datang untuk menunaikan solat serta pelancong yang ingin melihat pemandangan di sebalik pagar tertutupnya.

Di sekelilingnya pula adalah deretan bazar yang dipenuhi dengan pelbagai barang cendera hati dan hasil pertukangan seperti tembaga, besi, emas, pakaian dan alat muzik.

Bagaimanapun, kami dinasihatkan oleh anggota senior PAT supaya menahan nafsu membeli-belah kerana Pasar Besar Kashgar yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ menawarkan pilihan yang lebih pelbagai dan murah.

Pasar Besar Kashgar

Ruang perniagaan ini merupakan kawasan paling sibuk di kota berusia lebih 2,000 itu dengan jumlah gerai melebihi 5,000 buah dan menerima kehadiran sehingga 100,000 pengunjung setiap hari.

Ia menawarkan produk tekstil, ukiran, kimpalan, buah-buahan halwa, pakaian bulu haiwan dan pisau Kashgar yang menjadi cendera hati paling popular di kalangan pelancong.

Keistimewaan senjata buatan tangan itu terletak pada ketajaman dan keutuhan matanya yang kalis sumbing dengan rekaan hulu menggunakan tanduk haiwan dan batu permata.

Kepentingan alat itu menjadikannya pakaian tradisi yang sentiasa ‘melekat’ di pinggang-pinggang lelaki masyarakat Uighur, penduduk majoriti Kashgar.

Selain keunikan produk kraf tangan, kota Kashgar juga menghimpunkan pelbagai bentuk dan rupa paras masyarakat yang mempunyai iras Cina, India, Turki, Mongolia dan Eropah.

Sistem Barter

Persinggahan PAT di Kashgar bagaimanapun dikatakan masih belum lengkap kerana tidak berkesempatan berkunjung ke pasar minggu yang wujud di situ sejak dari zaman Laluan Sutera.

Menurut peniaga Restoran Renmin Xilu di situ, pasar Ahad yang terletak tidak jauh dari Pasar Besar Kashgar itu menghimpunkan pelbagai produk pertanian daripada penduduk di sekitar dan luar Kashgar.

Malah, kaedah jual beli kuno menggunakan sistem Barter masih lagi diamalkan oleh penjual dan pembeli yang bersetuju untuk menukarkan barang-barang mereka.

“Jika ke sana, kamu dapat lihat bagaimana mereka memeriksa mulut dan kesihatan haiwan sebelum menukarkannya dengan barang keperluan lain.

“Malah pusat membeli belah terbesar di sini masih tidak dapat menandingi kesibukan dan kemeriahan di pasar Ahad,” jelasnya.

Kebanyakan urusan menggunakan sistem Barter katanya adalah yang melibatkan pertukaran antara haiwan ternakan, hasil pertanian dan perkakasan rumah.

Pasar yang bermula sejak awal pagi hingga ke lewat petang itu bukan sahaja menyediakan pelbagai barang untuk dibeli malah memberi gambaran sebenar kehidupan dan kebudayaan golongan petani di kawasan itu.

Selain menyajikan keunikan budaya masyarakat Islam Uighur, Kashgar juga memiliki beberapa lagi destinasi tarikan pelancong antaranya makam puteri Abakh Hoja (Xiangfei), Mahmud Kashguri dan Yusup Has Hajip.

Tiga patung Budha, pagoda Mor Buddhist dan Tasik Karahuli yang berlatar belakang kawasan pegunungan Muztagatalt pastinya meninggalkan kenangan yang menakjubkan.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: