Tahniah Chong Wei, Jangan Lemas Dengan Kemewahan

SEKALUNG tahniah dan penghargaan ditujukan kepada wira negara, Lee Choong Wei (gambar) yang telah menghadiahkan pingat perak pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.

Walaupun tewas di perlawanan akhir, jelas rakyat Malaysia cukup menghargai usaha gigih atlet ini yang mencipta sejarah dalam arena badminton perseorangan negara yang berada di persada dunia sekaligus mengelak Malaysia pulang tangan kosong setelah 12 tahun tidak dapat berbuat demikian.

Bukan senang beraksi di hadapan ribuan penyokong lawan ditambah dengan persekitaran baru di tempat lawan yang sentiasa memberikan semangat kepada pemain mereka lebih-lebih lagi pada perlawanan menentukan pingat emas.

Semoga pengalaman yang didapati dalam menempuh kilauan pingat perak ini dapat diperturunkan kepada pelatih dan pemain pelapis negara yang perlu meneruskan perjuangan pada arena badminton tanah air agar dapat terus sebaris dengan pemain handalan dunia.

Tahniah juga kepada wira negara ini yang mendapat imbuhan RM300,000 bagi pemenang pingat perak selain pencen bulanan sepanjang hayat RM3,000 yang diberi oleh Kerajaan Malaysia sebagai penghargaan kepada atlet negara yang memenangi pingat Olimpik.

Ditambah pula dengan pengurniaan pingat Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa kepada gelaran ‘Datuk’ oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Chong Wei akan meningkatkan lagi keyakinan serta motivasi diri dan lebih bersemangat untuk meneruskan kecemerlangan.

Semoga insentif serta imbuhan yang dilimpahkan tidak melalaikan Chong Wei serta tidak memberikan kesan negatif kepada beliau seperti mana yang sering berlaku kepada atlet negara sebelum ini yang lemas dalam pujian dan penghargaan.

Contohnya dalam sukan badminton ini sendiri bagaimana kita pernah mempunyai juara Kejohanan All England suatu ketika dulu buat pertama kali dalam sejarah.

Tetapi imbuhan demi imbuhan serta pelbagai penghargaan tetapi akhirnya pemain muda itu berada jauh daripada persembahan terbaik dan sering gagal dalam kejohanan selain gagal untuk memberikan kemenangan kepada negara dalam perlawanan- perlawanan penentuan.

Memang tidak dapat dipersalah sepenuhnya bahawa pemberian elaun dan insentif adalah punca kejatuhan tetapi sama-sama kita jadikannya sebagai sempadan sejarah kerana ia pernah terjadi, maka perlu ada pihak yang akan mengingatkan serta memberikan semangat kerana manusia ini senang untuk lupa dan alpa.

Semoga ianya tidak melemaskan atlet-atlet dalam lautan pujian semata-semata dan marilah kita ubah tradisi serta membuktikan semangat patriotik kita dalam menyokong pemain negara dalam usaha untuk membuktikan bahawa kita bukan setakat jaguh kampung.

Tahniah kepada Chong Wei, tahniah kepada Misbun Sidek serta seluruh rakyat Malaysia.

Semoga kemenangan ini akan menjadi pembakar semangat kepada atlet lain dalam memaku nama Malaysia dipersada dunia selaras tema perjuangan, Malaysia Boleh!

EL AMERN MDS JK Siasah Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: