Terus Pupuk Bakat

Oleh Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@hmetro.com.my

CABARAN Olimpik Beijing sudah berakhir tetapi Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mahu melelapkan mata, sebaliknya berhasrat memantapkan barisan atlit harapan untuk berdepan Sukan Olimpik London 2012.

Meskipun sekadar membawa pulang perak menerusi badminton, bagi Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, ia permulaan terbaik selepas kali terakhir membawa pulang pingat perak dan gangsa di Sukan Olimpik 1996, Atlanta.

Malah Olimpik ini katanya, turut bersejarah apabila sukan seperti basikal dan memanah semakin hampir menjadi sukan yang mampu membuahkan pingat dengan atlit seperti Mohd Azizulhasni Awang dan Cheng Chu Sian mula mencuri perhatian.

Malah beberapa atlit seperti Amirul Hamizan Ibrahim, Daniel Bego, Siow Yi Ting serta pasukan memanah dan basikal turut memecah rekod kebangsaan hinggakan ada yang berjaya mara ke suku akhir, menyebabkan Zolkples mahu bakat ini terus dipupuk untuk persediaan ke London kelak.

“Kita tidak jangka mereka akan pergi sejauh ini dengan pendedahan serta latihan yang mereka terima tetapi sukan seperti basikal dan memanah semakin menyerlah berbanding harapan yang sebelum ini hanya diletakkan kepada badminton.

“Kebanyakan atlit kita masih muda dan kurang berpengalaman, justeru kita perlu mempersiapkan mereka untuk 2012,” katanya.

Hakikatnya, meskipun MSN puas hati dengan pencapaian atlit ketika ini, Zolkples mahu beberapa kelemahan ketara seperti ketelusan pengalaman serta kelemahan aspek mental diatasi jika mahu memperbaiki keputusan di Beijing.

Justeru katanya, apa yang akan dilakukan selepas ini adalah memberi tumpuan terhadap atlit dan sukan berpotensi untuk Olimpik meskipun pada masa sama tidak akan mengetepikan Sukan Komanwel dan Asia yang tidak kurang pentingnya dalam melahirkan jaguh sukan seperti bowling dan boling padang.

Malah kejohanan Mini Olimpik yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob mungkin antara langkah terbaik untuk memperkasakan skuad Olimpik negara selepas ini.

“Paling penting di sini ialah setiap atlit perlu berusaha keras meningkatkan prestasi masing-masing, memandangkan pada masa sama atlit negara lain juga melakukan perkara sama.

“Pada masa sama, saya juga mengharapkan hoki mampu melayakkan diri ke Olimpik. Kita akan menyiasat kelemahan yang ada memandangkan kita tidak pernah terlepas ke Olimpik melainkan pada dua edisi terakhir ini,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: