Archive for the ‘Sukan Olimpik’ Category

Pingat Olimpik Sudah Pasti

August 16, 2008

BEIJING – Lee Chong Wei memastikan pingat Olimpik keempat buat Malaysia apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir acara badminton perseorangan lelaki setelah menundukkan pemain Korea Selatan, Lee Hyun-Il 21-18, 13-21, 21-13 pada pusingan separuh akhir semalam.

Pemain berusia 26 tahun itu kemudiannya memeluk jurulatihnya, Misbun Sidek kerana terlalu gembira dapat menamatkan kemarau pingat buat negara selama 12 tahun.

Chong Wei, pilihan kedua akan bertemu pilihan utama, Lin Dan dari China yang menang 21-12, 21-18 ke atas rakan senegara, Chen Jin dalam satu lagi perlawanans eparuh akhir semalam.

Acara akhir akan berlangsung esok.

Pada set pertama, Chong Wei kelihatan seperti yakin tidak menghadapi masalah untuk layak ke perlawanan akhir setelah menang 21-18 berikutan lawannya banyak melakukan kesilapan.

Bagaimanapun, pada set kedua dia kehilangan 10 mata untuk membolehkan Hyun-Il mendahului 16-6 dan kemudian menang 21-13 bagi memaksa perlawanan berlanjutan ke set ketiga.

Pada set ketiga, Chong Wei tidak mengulangi kesilapan yang sama apabila mendahului 15-10 sebelum menang 21-13.

“Perlawanan akhir itu adalah perjuangan untuk Malaysia. Kemenangan ini untuk saya dan jurulatih saya yang bekerja keras melatih saya,” kata Chong Wei selepas berakhirnya saingan sejam itu di gimnasium Beijing University of Technology.

Chong Wei yang menjadi pemain perseorangan pertama Malaysia layak ke perlawanan akhir Sukan Olimpik, boleh menikmati imbuhan tertinggi dalam sejarah sukan negara jika merangkul emas yang pertama buat Malay- sia selepas hanya satu perak dan dua gangsa daripada Sukan Olimpik sebelum ini, semuanya menerusi sukan badminton.

Ini berikutan pengumuman kerajaan bahawa pemenang pingat emas akan diberikan ganjaran RM1 juta.

“Kemenangan ini mengurangkan tekanan saya kerana akhir- nya saya dapat juga pingat. Ini adalah kemenangan terhebat saya kerana ini adalah Olimpik dan untuk perlawanan akhir, saya akan kekalkan fokus,” katanya.

Dia mengakui mempunyai masa tidur kurang enam jam kerana bimbangkan pertemuan separuh akhir itu.

“Pada set kedua, saya gagal menandingi kepantasannya. Pada set ketiga, saya yakin dan selepas masing-masing mengutip mata demi mata, kami mula beraksi di jaring dan dia banyak buat silap,” kata Chong Wei yang melakukan dua smash untuk memperoleh mata kemenangan.

Hyun-Il dianggap antara pemain paling sukar untuk ditewaskan. Dia menundukkan pemain pilihan ketiga dari China, Bao Chunlai pada suku akhir untuk bertemu Chong Wei.

Kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat Olimpik ialah pada 1996, satu perak menerusi pasangan beregu lelaki, Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock serta gangsa menerusi pemain perseorangan lelaki Rashid Sidek. – Bernama

Kosmo

Inilah Masa Terbaik

August 16, 2008


CHONG WEI adalah pemain perseorangan terbaik pernah dilahirkan oleh negara.

DALAM sejarah sukan Malaysia, inilah peluang terbaik untuk merangkul pingat emas pertama Sukan Olimpik.

Katakanlah apa saja tentang jenis sukan yang disertai atlet negara tetapi bagi Malaysia sekurang-kurangnya bagi tempoh beberapa tahun akan datang, negara hanya boleh menaruh harapan untuk memenangi pingat Olimpik dalam satu jenis sukan sahaja iaitu badminton.

Walaupun ratu skuasy, Datuk Nicol David merupakan pemain No. 1 dunia ketika ini, tetapi sukan itu tidak dipertandingkan pada Sukan Olimpik dan oleh itu badminton terus merupakan satu-satunya acara yang sentiasa meletakkan Malaysia dalam kelompok negara paling kuat di dunia.

Berdasarkan sejarah badminton sejak beberapa tahun lalu (bukan untuk memperkecilkan kemampuan jaguh perseorangan yang telah mencipta nama sebelum ini), pemain perseorangan lelaki, Lee Chong Wei adalah pemain terbaik yang pernah dilahirkan oleh Malaysia.

Dinobatkan sebagai pemain No. 1 dunia tahun lepas dan No. 2 tahun ini, Chong Wei memiliki kelebihan yang jarang terdapat pada pemain Malaysia lain iaitu sebagai pemain yang memanfaatkan daya fikir atau dalam kata lainnya pemain yang bijak mengubah corak permainannya, sesuai dengan lawan yang dihadapi.

Satu lagi sifat yang dimiliki pemain ini ialah dia akan bermain bermati-matian dan tidak mudah memberi kemenangan kepada lawan walau dalam keadaan apa sekali pun.

Sebelum ini, peminat tempatan kerap melihat sesetengah pemain badminton negara mempersia-siakan peluang untuk menjuarai kejohanan penting kerana tidak mempamerkan prestasi terbaik.

Terbaru, pada perlawanan pusingan akhir Piala Thomas di Jakarta Mei lepas, Malaysia hampir mengecewakan China dan mara ke perlawanan akhir, tetapi kecundang kerana ada pemain tidak memiliki naluri ‘pembunuh’ yang amat diperlukan pada saat-saat yang begitu penting.

Chong Wei ternyata memiliki naluri itu apabila dia mengalahkan pemain No. 1 dunia, Lin Dan pada perlawanan separuh akhir antara Malaysia dengan China itu.

Jauh bezanya apabila pemain perseorangan wanita No. 1 negara, Wong Mew Choo gagal memanfaatkan sembilan peluang menamatkan saingan set kedua perlawanan suku akhir menentang Lu Lan bagi memaksa pemain China itu bermain dalam set ketiga pada Olimpik Beijing Rabu lepas.

Sudah tiba masanya bagi atlet negara, terutama dalam sukan badminton iaitu sukan yang menempatkan Malaysia dalam kelompok negara teratas di dunia keluar daripada kepompong jaguh kampung.

Ternyata, Chong Wei berjaya membebaskan dirinya daripada kepompong ini hingga dinobatkan sebagai pemain No. 2 dunia.

Pada Olimpik Beijing, pemain ini menggalas harapan negara untuk mencipta sejarah unggul dengan memenangi pingat emas pertama untuk Malaysia.

Kini, Chong Wei semakin hampir ke arah pencapaian terbaik itu dengan layak ke perlawanan akhir setelah mengalahkan pemain Korea Selatan, Lee Hyun-Il pada separuh akhir.

Ketua jurulatih badminton China, Li Yong Bo pernah berkata Chong Wei merupakan satu-satunya pemain perseorangan yang mampu memusnahkan harapan negara itu untuk memenangi pingat emas Olimpik.

Kemampuan Chong Wei berbuat demikian memang tidak dapat disekat jika dia berada pada tahap terbaik pada hari perlawanan.

“Semua atlet menaruh harapan untuk memenangi pingat emas Olimpik. Saya juga begitu, tapi amat sukar meramalkan siapakah yang akan menjadi juara di Beijing.

“Banyak faktor yang perlu diambil kira seperti prestasi, persiapan yang dibuat dan bagaimana seseorang itu menangani keadaan pada hari perlawanan,” kata Chong Wei.

Apa yang membezakan Chong Wei dengan pemain Malaysia sebelum ini ialah ketangkasan dan kecanggihan permainannya.

Keyakinan yang dipamerkan pemain ini semasa berada di gelanggang memang mengagumkan.

Kini, sebagai satu-satunya pemain badminton Malaysia yang masih meneruskan perjuangan di Beijing, Chong Wei sedar beban yang dipikulnya memang berat dan dia tidak boleh membiarkan tekanan yang ada menghalang tumpuannya untuk meraih kemenangan.

“Saya tahu rakan-rakan sepasukan mengharapkan saya menang dan pada waktu yang sama, saya juga sedar tentang harapan tinggi rakyat Malaysia di tanah air,” katanya.

Seluruh rakyat Malaysia semalam menyaksikan dengan penuh debaran ketika dia berhadapan dengan cabaran sengit daripada pemain Korea Selatan itu sebelum menang bergaya dalam tiga set.

Semalam, dia berehat untuk menonton perlawanan suku akhir antara Hyun-Il dan pemain China, Bao Chunlai melalui televisyen.

Satu insentif besar menunggu Chong Wei dan dia akan menjadi pemain pertama Malaysia menjadi jutawan segera jika memenangi pingat emas.

Inilah yang ditawarkan oleh kerajaan bagi pencapaian itu, di samping RM300,000 bagi pemenang pingat perak dan RM100,000 (gangsa).

Inilah peluang terbaik Chong Wei dan Malaysia meraih pingat emas Olimpik, bak judul lagu Elvis Presley: ‘It’s Now or Never’. – Bernama

Kosmo

Syabas S’Pura!

August 16, 2008

PENANTIAN 48 TAHUN BERAKHIR

OlehSaparin Rasikin

PENANTIAN kilauan pingat selama 48 tahun berakhir apabila pasukan tenis meja wanita melayakkan diri ke final Sukan Olimpik Beijing, semalam.

Para pemain, pegawai dan penyokong Singapura terpaksa melalui suasana yang mendebarkan sebelum Lee Jiawei dan rakan-rakannya menewaskan Korea Selatan 3-2.

Kemenangan ini menjamin sekurang-kurangnya pingat perak kepada Singapura, yang akan menentang pasukan favorit dan tuan rumah, China, dalam final esok.

Kali terakhir Singapura memenangi pingat Olimpik ialah menerusi Tan Howe Liang dalam acara angkat berat di Rome pada 1960.

Kejayaan hari ini turut disaksikan juga oleh Presiden S R Nathan, yang melahirkan rasa bangga sambil mengucapkan tahniah kepada para pemain negara.

Feng Tianwei muncul sebagai srikandi kejayaan bersejarah ini dengan memenangi kedua-dua perlawanan perseorangannya, termasuk pertarungan penentuan selepas kedudukan terikat 2-2.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan kemenangan adalah hasil usaha bersama rakan-rakan sepasukan.

‘Saya sungguh teruja dengan kejayaan ini,’ jelas Feng memberitahu wartawan The Straits Times selepas kemenangan 11-7 12-10 3-11 dan 11-9 ke atas Park Mi Yong dalam masa 47 minit.

‘Usaha sepasukan menghasilkan kejayaan ini dengan setiap pemain dan pegawai memberikan sumbangan.’

Mengenai taktik permainan, Feng menjelaskan: ‘Saya terpaksa bermain dengan sabar dan menunggu peluang untuk mematikan bola.

‘Hampir semua orang berasa gugup tetapi kejayaan mengawal ketenangan diri memberi kelebihan untuk mengecap kemenangan ini.’

Sebelum ini, Feng membuka kemenangan Singapura dengan mudah menundukkan Dang Ye Seo 11-5 11-5 dan 11-2 dalam masa 27 minit.

Jiawei kelihatan akan memberikan Singapura mata kedua apabila menang set pertama 11-5 tetapi Kim Kyung Ah memenangi set kedua 11-8.

Sungguhpun Jiawei bangkit memenangi set ketiga 11-9, beliau gagal mengekalkan permainannya dan tewas 6-11 dan 9-11 dalam dua set terakhir kepada pemain yang mengalahkannya dalam perlawanan merebut pingat gangsa di Athens empat tahun lalu.

Bagaimanapun, Jiawei menebus kekecewaan ini apabila berganding dengan Wang Yue Gue dan menewaskan beregu Korea, Kim dan Park 11-7 11-6 dan 11-9.

Korea menggugat harapan Singapura apabila Dang mengalahkan Wang 11-8 14-12 dan 11-9 tetapi Feng menjadi penyelamat dan memenuhi impian pingat Singapura dengan kemenangan ke atas Park dalam pertarungan empat set itu.

Cyberita

Powell Yakin Atasi Bolt Dan Gay Jika Dahului Awal

August 16, 2008

BEIJING: Bekas pemegang rekod dunia, Asafa Powell, berkata rakan senegaranya dari Jamaica, Usain Bolt, dan pelari Amerika Syarikat, Tyson Gay, tidak akan dapat mengatasinya jika beliau mendahului dalam final 100 meter Olimpik yang ditunggu-tunggu.

‘Ramai orang berkata Usain dan Tyson kuat dekat penghujung perlumbaan tetapi jika saya dapat berlepas dahulu daripada mereka, tidak kiralah bagaimana mereka menamatkan perlumbaan, mereka tidak akan dapat menghampiri saya,’ kata Powell kelmarin.

Persaingan bagi acara 100 meter bermula esok dengan peringkat akhir pada Sabtu ini.

‘Saya telah melakukan beberapa perkara hebat semasa latihan sepanjang dua minggu lalu,’ ujar Powell.

‘Inilah kali pertama saya melihat jurulatih saya begitu ghairah sekali. Jadi, apa yang saya perlu lakukan ialah pergi ke sana dan lakukan seperti yang telah saya lakukan dalam dua perlumbaan lalu.’

Powell mengalahkan Bolt dalam pertemuan terakhir mereka menjelang Olimpik dalam satu perlumbaan di Stockholm sebelum mencatatkan masa terpantas musim ini – 9.82 saat – untuk memenangi perlumbaan di Grand Prix Monaco.

Masa yang dicatat itu menjadikan Powell pelari pecut ketiga terpantas tahun ini di belakang rekod dunia ciptaan Bolt, iaitu 9.72 saat, dan 9.77 saat yang dicatatkan Gay.

Powell berkata, satu- satunya kekecewaan yang dirasakannya dalam persiapan menghadapi Olimpik ini ialah jumlah ujian dadah yang terpaksa diambilnya.

‘Kira-kira dua hari lalu, saya agak marah sedikit kerana sejak saya berada di sini, mereka telah menguji saya sebanyak empat kali dan mengambil darah saya – jumlah darah yang banyak,’ kata Powell.

‘Mereka mengambil terlalu banyak darah sehingga kami akan menjadi lemah sebelum final 100 meter,’ tambahnya. ‘Dan saya hampir pasti saya akan diuji lagi esok.

‘Saya tidak tahu orang lain tetapi mereka memberi tumpuan kepada kes saya, rakan sepasukan saya, Michael Frater, dan Usain.’

Powell menambah bahawa beliau menerima pentingnya ujian tersebut dan berharap para pegawai dapat menangkap semua yang mengambil dadah perangsang persembahan agar Sukan ini bersih.

Meskipun banyak tekanan kini diletak di bahu Bolt, Powell berkata rakyat negaranya masih menaruh harapan yang lebih besar terhadapnya.

‘Dengan saya dan Usain di sana, ia sesuatu yang besar bagi Jamaica,’ katanya.

‘Mereka menjangkakan kami menduduki tempat pertama dan kedua, rekod dunia dan sebagainya.’

Powell berkata matlamat masa depannya ialah merampas semula rekod dunia tetapi keutamaannya di Beijing ialah memenangi emas tanpa menghiraukan masa yang dicatat.

Pelari berusia 25 tahun itu belum pernah memenangi kejuaraan dunia, menduduki tempat kelima dalam acara 100 meter Sukan Olimpik 2004 dan tempat ketiga di kejohanan dunia 2007. — Reuters.

Cyberita

Sukan Olimpik: Chu Sian Gagal Terus Kemaraan

August 15, 2008

Sinar sebelah pagi hanya seketika sebelum layu

JALAN ceritanya hanya sedikit berbeza tapi jelas kesudahannya tetap sama bagi pemanah negara, Cheng Chu Sian di Padang Memanah Olimpik Green, semalam.

Sinar yang ditunjukkan pada pagi selepas menyingkirkan pemegang rekod baru Olimpik, Lee Chang-hwan dari Korea Selatan, hanya seketika apabila cabarannya lesu sehingga mudah dijinakkan pemanah Russia, Bair Badenov 109-104 pada suku akhir yang diadakan petangnya.

Kekuatan mental jelas menjadi pemisah apabila Chu Sian yang turut beraksi hambar dalam suku akhir acara berpasukan, sekali lagi gugup di peringkat sama acara individu.

“Saya melakukan kesilapan ketika membuat bidikan. Ia mungkin kerana tekanan kerana ini adalah Sukan Olimpik pertama saya.

“Tujuh mata yang dicatat dua kali itu adalah sesuatu yang harus diterima kerana ia adalah adat pertandingan,” katanya yang mahu berehat seketika sebaik kembali ke Malaysia sebelum memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia di Korea Selatan, tahun depan.

Biarpun mengikat kedudukan 27-27 di akhir pusingan pertama tiga panah, Chu Sian sekadar mengutip 7 mata pada panah keempatnya, bagi mengakhiri pusingan berikut dengan ketinggalan tiga mata.

Dua mata tercicir pada dua pusingan terakhir terus memberi kelebihan buat Badenov untuk mara ke separuh akhir menentang Viktor Ruban dari Ukraine yang menewaskan Ryuichi Moriya 115-106 manakala satu lagi separuh akhir adalah antara Park Kyung-mo dan Juan Rene Serrano.

Pingat emas akhir dimenangi Ruban yang menewaskan Kyung-mo 113-112 manakala gangsa milik Badenov.

Terdahulu, Chu Sian membuat kejutan awal menyingkirkan Chang-hwan menerusi tie-break selepas kedua-dua pemanah terikat 105 mata pada akhir 12 panah yang dibahagikan kepada empat pusingan.

Chang-hwan sebelum ini memecahkan rekod 12 panah Olimpik apabila mencatat 117 daripada 120 mata pada hari pertama acara individu Rabu lalu.

Berita Harian

Sukan Olimpik: Mun Yee, Elizabeth Gagal

August 15, 2008

DUA penerjun negara, Leong Mun Yee dan Elizabeth Jimie gagal meneruskan langkah ke peringkat separuh akhir acara terjun 3 meter papan anjal wanita di Pusat Akuatik Nasional, semalam.

Mun Yee, 24, yang membuat penampilan ketiga Sukan Olimpik sekadar mengumpul 253.5 mata, untuk berkongsi mata dengan muka baru temasya itu, Elizabeth, 16, bagi mengakhiri saingan kelayakan di tempat ke-21 daripada 30 peserta.

Hanya 18 peserta teratas layak ke separuh akhir yang akan diadakan esok dan catatan kedua-dua atlit negara itu adalah 120.40 mata di belakang pendahulu Guo Jingjing dari China yang mengumpulkan 373.90 mata.

Malaysia masih mempunyai dua atlit penerjun iaitu Pandalela Rinong dan Bryan Nickson Lomas yang masing-masing akan beraksi dalam acara 10m platform wanita pada 20 Ogos dan 10m platform lelaki pada 22 Ogos.

Berita Harian

Sukan Olimpik: ‘Saya Kejar Kepuasan Peribadi’

August 15, 2008


TAK TERKATA: Reaksi Chong Wei yang berlari dan melompat ke dalam pelukan Misbun selepas menang saingan separuh akhir ke atas Hyun-il 21-18, 13-21, 21-13, petang semalam. Dia akan menentang Lin Dan pada final esok.

Emas Sukan Olimpik adalah sama penting seperti nyawa saya: Chong Wei

TIADA siapa yang akan menyalahkan Lee Chong Wei seandainya dia berasakan dunia ini miliknya, malam tadi sesudah memastikan Malaysia akan pulang dari Beijing sekurang-kurangnya dengan satu pingat.

Terbaring di gelanggang sebaik mengesahkan tiket ke final badminton perseorangan lelaki sebaik menewaskan Lee Hyun-il di separuh akhir, 21-18, 13-21, 21-13, sebelum bangun meluru memeluk erat jurulatihnya, Misbun Sidek yang air matanya jelas bergenang di kelopak matanya, sudah cukup menggambarkan kelegaan yang dirasainya.

Biarpun ada satu lagi halangan yang menentukan warna pingat sama ada emas atau perak, Chong Wei sudah mencipta sejarah menjadi perseorangan pertama negara melangkah ke final Sukan Olimpik selepas Rashid Sidek sekadar memungut gangsa pada 1996.

Ini juga adalah final kejohanan utama yang pertama buat Chong Wei, 26, dan pemain berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu tidak mahu sekadar puas dengan kemaraan itu sahaja, sebaliknya tetap memburu peluang mencari emas selepas membantu negara mengakhiri kemarau pingat di Olimpik sejak dua temasya lalu.

Di Atlanta 1996, Malaysia memenangi perak menerusi pasangan, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock dan gangsa yang dimiliki Rashid.

‘Pingat perak sudah dikira dalam tangan tapi emas Sukan Olimpik adalah sama penting seperti nyawa saya. Saya memang mahukan pingat itu bagi diri sendiri selepas bekerja keras selama ini, selain untuk Misbun yang banyak membantu saya.

“Ganjaran kerajaan tidak pernah saya fikirkan sehingga kini kerana saya mengejar kepuasan peribadi.

“Saya pasti akan beraksi bermati-matian di final nanti,” katanya yang mengakui lega bebanan besar yang ditanggungnya sudah berakhir sebaik mengesahkan tiket ke final selepas mengharungi perlawanan selama 62 minit itu.

Malah, Chong Wei menjelaskan dia tidur kurang daripada enam jam kelmarin kerana menanggung beban selepas menjadi satu-satunya wakil negara yang mara ke separuh akhir dalam acara badminton.

Begitupun, dia kini pasti tenang menghadapi perlawanan akhir, esok kerana tekanan lebih dirasai pemain tuan rumah, Lin Dan yang turut layak ke final selepas menewaskan rakan senegaranya, Chen Jin 21-12, 21-18.

Namun, Chong Wei yang bermula baik pada set pertama tiba-tiba merudum prestasinya pada set berikut apabila menyerah 11 mata berturut-turut kepada lawan selepas mendahului 6-5 sebelum tewas 13-21.

“Banyak kesilapan yang saya lakukan kerana ketika itu agak sukar menangani kelajuannya,” kata Chong Wei.

Begitupun, Chong Wei menjelaskan keyakinannya untuk menang, memuncak apabila kedudukan 15-10 pada set penentuan itu bagi mencatat rekod pertemuannya dengan Hyun-il kepada 6-5 yang berpihak kepadanya.

Berita Harian

Sukan Olimpik: Pak Lah Menaruh Harapan

August 15, 2008

‘Nampaknya dalam sukan badminton kita ada peluang’

SEPERTI rakyat Malaysia lain yang cintakan sukan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam menaruh harapan tinggi kepada kontinjen Malaysia untuk membawa pulang sekurang-kurangnya sebutir pingat emas buat julung kali dari Sukan Olimpik di Beijing.

“Nampaknya dalam sukan badminton, kita ada harapan. Sudah masuk ke peringkat separuh akhir. Harapan mendapat pingat emas cerah. Ini akan jadi pingat emas pertama milik seorang rakyat Malaysia.

“Inilah harapan kita, yang akan jadi wira terbilang,” kata Perdana Menteri ketika merasmikan Anugerah Pertandingan MySkills 2008 dan Pelancaran Ekspo Kemahiran di ADTEC, Shah Alam, semalam.

Abdullah merujuk kejayaan pemain perseorangan negara, Lee Chong Wei yang mara ke perlawanan akhir, semalam selepas berjaya menewaskan pemain Korea Selatan, Lee Hyun-il, 21-18, 13-21, 21-13 dalam saingan separuh akhir lelaki.

Kata beliau, untuk menjadi terbilang, mereka perlu mendapat pengiktirafan peringkat dunia seperti ahli sukan Malaysia yang kini bertarung membawa pulang pingat Olimpik.

Katanya, seseorang ahli sukan itu belum boleh dipanggil terbilang jika mereka tidak mendapat pingat di Olimpik atau kejohanan dunia dengan memberi contoh, Datuk Nicol David sebagai atlit terbilang.

“Malangnya, acara skuasy tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik. Kalau ada, sudah tentu kita dapat satu emas,” katanya berseloroh.

Berita Harian

Atlet Wanita Bangga Bertudung

August 15, 2008

Susunan Idris Musa
idris@hmetro.com.my

RAMAI di kalangan atlet wanita Islam pada Sukan Olimpik Beijing memecahkan stereotaip Barat, dengan membuktikan pemakaian tudung tidak sekali-kali menghalang pembabitan mereka dalam aktiviti sukan dan kehidupan.

“Tudung tidak sekali-kali memberikan masalah kepada saya,” kata pelari Bahrain, Ruqaya al-Ghasara yang mencatat sejarah bagi atlet wanita Islam selepas memenangi pingat emas Sukan Asia Barat 2006 kepada Reuters, Isnin lalu.

Temasya berkenaan yang bermula 8 Ogos lalu, akan memperlihatkan ramai wanita Islam berazam untuk mematuhi etika berpakaian berlandaskan agama ketika memburu emas di kejohanan berprestij itu.

Enam atlet wanita yang bertudung adalah dari Mesir, tiga atlet Iran, masing-masing seorang dari Afghanistan dan Yaman, mengambil bahagian dalam acara larian, dayung, taekwondo dan memanah.

Ruqaya dan pendayung Iran, Homa Hosseini mendapat penghormatan kerana terpilih sebagai pembawa bendera bagi negara masing-masing pada majlis pembukaan sukan itu.

Dalam Islam, tudung adalah etika pakaian yang wajib bagi wanita dan bukannya simbol keagamaan, sebagaimana dikritik hebat di Barat, kebelakangan ini.

Januari lalu, seorang pelari Islam dari sekolah tinggi Amerika ditarik keluar daripada pertandingan peringkat tempatan kerana memakai tudung.

Pada Mac tahun lalu, penggubal dasar Lembaga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB), menyatakan tudung dilarang dalam sukan bola sepak.

Peraturan itu dibuat selepas seorang pemain Islam Kanada digantung daripada sukan bola sepak kerana memakai tudung.

Seorang kanak-kanak Kanada berusia 11 tahun juga dinafikan daripada menyertai acara Judo kebangsaan November tahun lalu kerana memakai tudung.

Pemain pedang Mesir, Shaimaa El-Gammal, bagi kali ketiga di temasya Olimpik, memakai tudung bagi kali pertama dalam perlawanan.

“Apabila saya berlawan pedang, saya bangga kerana saya seorang Islam,” kata wanita berusia 28 tahun itu. Ia sangat simbolik bagi wanita di negara saya,” katanya.

Bagi Shaimaa, pemakaian tudung memberikan kekuatan dalaman kepadanya.

“Orang melihat kami memakai tudung dan berfikir kami menunggang unta. Tetapi wanita Islam boleh melakukan apa saja yang mereka kehendaki,” katanya.

Kaum wanita di tanah air Ruqaya, iaitu di Bahrain sangat bangga dengan pelari negara terbabit yang menjadi perintis dalam temasya Olimpik itu.

Sesetengah mereka bersepakat untuk mereka dan menjahit tudung khas berbentuk aero dinamik bagi membantu atlet mereka beraksi cemerlang dalam sukan terbabit.

“Di Bahrain anda membesar dengannya,” kata Ruqaya, yang selalu memakai tudung berwarna putih dan merah, menyerupai warna bendera negaranya.

“Kami mempunyai wanita yang menjadi duta, doktor dan juruterbang. Pada saya, ia adalah kebebasan,” katanya.

Harian Metro

Federer Terpaksa Pulang Awal

August 15, 2008

BEIJING – Hajat Roger Federer (gambar) untuk meraih pingat emas pertamanya di pentas Sukan Olimpik tidak kesampaian selepas dia tewas mengejut kepada pemain Amerika Syarikat, James Blake semalam.

Dengan prestasi tidak menentu yang dipamerkan sejak kebelakangan ini, Federer nyata sukar menandingi kehebatan Blake apabila tewas dua set, 4-6, 6-7.

Bagi Blake, kemenangan pada aksi suku akhir semalam merupakan kemenangan pertamanya ke atas bintang Switzerland itu daripada lapan pertemuan sebelum ini.

Kemuncak kepada kegagalan Federer musim ini bermula sejak dari tewas kepada Rafeal Nadal pada perlawanan akhir Kejohanan Wimbledon bulan lalu.

Kegagalan itu selain kekalahan mengejut yang dialaminya pada beberapa kejohanan sebelum ini menyaksikan statusnya selaku pemain No. 1 dunia bakal menjadi milik Nadal selepas berakhirnya Sukan Olimpik di Beijing hujung bulan ini.

Dengan kekalahan kepada Blake semalam, Federer terus kempunan untuk meraih emas Olimpik selepas turut kecundang dalam dua penampilan sebelum ini.

Dia tewas di peringkat separuh akhir pada aksi Sukan Olimpik Sydney 2000 sebelum tersingkir seawal pusingan kedua di Athens empat tahun lalu.

Namun, juara Wimbledon sebanyak lima kali itu masih mampu menebus kekecewaannya apabila turut pada aksi suku akhir acara beregu lelaki dengan berpasangan bersama Stanislas Wawrinka. – AP

Kosmo


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.